ARAU: Seramai 47 mangsa yang terjejas dengan banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah di sini.
Kesemua 47 mangsa terlibat membabitkan 17 keluarga itu dipindahkan sejak semalam selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
PPS SK Kubang Gajah mula beroperasi bermula sejak pukul 8 malam semalam bagi menempatkan mangsa-mangsa itu.
Bagaimanapun, keadaan banjir di beberapa kawasan telah mula surut dengan paras air sungai sekitar 0.2 hingga 0.5 meter.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan turut turun padang semalam bagi meninjau situasi rumah-rumah mangsa yang terjejas dengan kejadian tersebut.
Menurut Shahidan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat setempat sejak beberapa hari lalu sekitar negeri ini sehingga menyebabkan berlakunya banjir berkenaan.
“Hujan lebat setempat itu telah menyebabkan air-air ini terhalang mungkin disebabkan pembangunan-pembangunan kecil yang dilaksanakan di sekitar kawasan terlibat,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga berpandangan longkang-longkang bagi projek pembangunan kecil itu juga dilihat tidak mempunyai penyelarasan dengan longkang besar di kawasan tersebut.
“Saya serahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini.
“Dan sekiranya longkang-longkang didapati tidak mencukupi di kawasan ini untuk menyalurkan air maka kita akan usaha untuk atasi permasalahan itu,” katanya. – UTUSAN










