Malaysia perkenal cukai progresif, bukan GST - PM

Malaysia perkenal cukai progresif, bukan GST – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan memperkenalkan dasar cukai progresif kerana ia tidak bersifat broad-based seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang memberikan kesan besar terhadap golongan kurang mampu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun GST diakui sebagai cukai yang efisien dan telus tetapi kerajaan perlu mengambil kira soal pembasmian miskin tegar, penyelarasan subsidi dan peningkatan taraf hidup masyarakat.

Katanya, jika GST diperkenalkan semula, ia dikhuatiri menjejaskan golongan kurang berkemampuan.

“GST adalah sistem cukai paling telus dan efisien tapi bila nak dilaksana? Bergantung kepada keadaan sebab bila ada yang hidup miskin tegar, kita kena perkenal polisi cukai progresif. Polisi broad-based akan beri kesan kepada orang miskin.

“Jadi kena bagi sikit masa, tapi adakah kita tak buat apa-apa langsung..tidak, tapi kita kena perluas cukai tapi ia dimulakan dengan mengurangkan subsidi untuk orang kaya, sebab bila kita perkenal rasionalisasi subsidi,” katanya dalam sesi khas Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken di Singapura, semalam.

Dalam masa sama, katanya, pelaksanaan semula GST juga perlu mengambil kira isu-isu lain seperti subsidi petrol dan penyeludupan di sempadan.

“Jadi subsidi yang dipraktikkan sekarang perlu dirasionalisasikan untuk ekonomi, kita dapat kurangkan subsidi dan jimat berbilion ringgit.

“Kita perlu mula tingkatkan tatakelola, hentikan ketirisan, korupsi dan bergerak ke depan, kalau nak kata (pelaksanaan GST) dalam beberapa tahun akan datang, adalah bila isu miskin tegar dapat ditangani, tingkatkan taraf hidup rakyat, lepas itu baru bergerak ke sistem cukai broad-based,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, syarikat kenderaan elektrik terkemuka dunia, Tesla akan mula beroperasi selewat-lewatnya awal November ini.

“Pejabat Tesla akan mula beroperasi sama ada pada hujung Oktober atau awal November depan. Kita masih berunding dari segi pelaburan tapi akan ada tiga syarikat turut bekerjasama seperti SpaceX dan Starlink, ini tentunya memberikan manfaat kepada kita dan meningkatkan lagi keyakinan pelabur,” katanya.

Dalam sesi khas itu, Anwar menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam mana-mana kes rasuah termasuk kes melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Katanya, keputusan terhadap kes Timbalan Perdana Menteri itu dibuat sepenuhnya oleh Peguam Negara berdasarkan Perkara 145 (3) dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan kerana kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Malah, beliau memberikan kuasa penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau semua pemimpin kerajaan tanpa sebarang campur tangan.

“Apa yang penting, saya sebagai Perdana Menteri dan ahli Kabinet, dalam tempoh sembilan bulan, tidak ada satu kes pun (campur tangan). Saya bagi SPRM full authority pantau semua pemimpin kerajaan.

“Memang ada kes berlaku masa lalu tapi kalau nak ubah ia libatkan begitu banyak pihak namun paling penting, kita sedang mulakan sistem baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN