PUTRAJAYA: Lebih 30,000 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan Cina dihantar ke tiga negara masing-masing ke Australia, Kanada dan United Kingdom bermula semalam.
Ia adalah penghantaran kedua disumbangkan oleh Malaysia selepas 30,000 naskhah al-Quran dalam terjemahan bahasa Khmer ke Kemboja pada 29 Mac lalu.
Majlis pelepasan tiga kontena itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Nasyrul Quran, di sini, semalam.
Penghantaran al-Quran ke negara luar itu adalah sebahagian daripada sasaran pencetakan dan pengedaran 500,000 naskhah al-Quran yang disasarkan tahun ini.
Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Yayasan Restu menyasarkan cetakan dan edaran sejuta al-Quran masing-masing 500,000 naskhah bagi tahun ini dan tahun depan.
Bagi fasa pertama, penerbitan dan percetakan yang sedang dilaksanakan membabitkan al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Swedish, Inggeris, Sepanyol Latin, Mandarin, Khmer, Perancis, Tamil, Tagalog dan Hindi.
Inisiatif yang dicetuskan Perdana Menteri itu bermatlamat memantapkan kefahaman dan menolak salah faham masyarakat dunia terhadap al-Quran, menangani islamofobia dan menggerakan masyarakat Islam untuk beramal.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, inisiatif pencetakan dan pengedaran sejuta naskhah al-Quran adalah gagasan penting Kerajaan Madani dalam memberi makna kepada penghayatan Islam seterusnya memartabat umat dan negara.
Menurutnya, beliau yakin inisiatif ini dapat meningkatkan kefahaman dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam.
“Ada segelintir pihak bicara soal Islam dengan panas dan maki hamun malah, mengganggap semua di negara Barat itu sesat tanpa apa-apa usaha mendidik dan memberi kefahaman.
“Ini yang saya cuba ungkap dalam Kerajaan Madani di mana soal nilai akhlak menjadi teras tertentu untuk agama khususnya al-Quran,” katanya. – UTUSAN










