KOTA BHARU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi jaminan bekalan beras putih tempatan dalam negara mencukupi dan menyifatkan isu berkenaan bukanlah satu krisis besar.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata, kekurangan beras beras putih tempatan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan pembelian panik dalam kuantiti yang banyak oleh pengguna.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah melaksanakan langkah awal intervensi dalam menangani pertambahan permintaan makanan ruji negara itu.
“Bekalan beras itu ada dan ia tidak ada krisis besar (kekurangan bekalan beras), malah kita telah melaksanakan penjualan sebanyak 700 tan metrik beras putih tempatan bermula semalam.
“Jumlah pengedaran di bawah LPP adalah sebanyak 300 tan metrik dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak 400 tan metrik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jualan Agro Madani di Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini hari ini.
Azulita memberitahu, bekalan beras putih tempatan itu dipasarkan ke 40 premis di bawah LPP iaitu 23 Peladang Outlet (PO), lapan Agro Bazar Pertubuhan Peladang dan sembilan Kedai Peladang.
Katanya, pengedaran beras kampit tempatan ini dilaksanakan dengan harga kawalan RM26 untuk 10 kilogram (kg) setiap pek dan mengehadkan seorang pengguna membeli dua beg sahaja.
“Setakat ini kita akan melihat perjalanan program ini dan melaksanakan langkah seterusnya sekiranya ada arahan baharu.
“Kita faham dengan keadaan cuaca ketika ini yang tidak menentu, namun ia tidak membimbangkan kerana bekalan mencukupi selain musim menuai tidak lama lagi di Kedah dan akan berterusan di Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan akan mula diedar ke seluruh Semenanjung, Jumaat ini, sebagai langkah awal intervensi dalam menangani permintaan bahan makan ruji negara itu.
Program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akan dibuat melalui premis di bawah LPP dan FAMA di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur. –UTUSAN