PETALING JAYA: Polis menerima lima laporan berkaitan rakaman video yang menyeru orang ramai turun berkumpul dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di pusat beli-belah Sogo, dekat sini, Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video di aplikasi TikTok oleh seorang individu yang menyeru orang ramai turun berhimpun dalam perhimpunan itu kira-kira 8.30 pagi, kelmarin.
“Setakat ini, sebanyak lima laporan polis kami terima berhubung rakaman video berkenaan.
“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, polis sudah mengambil keterangan dua individu bagi membantu siasatan manakala empat orang lagi diambil keterangan dalam masa terdekat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan apa-apa perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.
Semalam, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan memaklumkan proses pemakluman mengenai penganjuran sebarang perhimpunan perlu memaklumkan pihak polis dan mendapatkan kebenaran berkemungkinan mengambil masa antara empat hingga lima hari.
Malah, Allaudeen turut dilaporkan berkata, setakat semalam pihaknya tidak menerima sebarang notis pemakluman.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memberitahu Dewan Rakyat bahawa Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dirancang pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini tidak ‘menggoncangkan’ kerajaan. – UTUSAN