KLUANG: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta hingga terbabas di kilometer 52.1 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.15 pagi itu melibatkan mangsa, Muhammad Ayzad Daniel Azman,19, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR secara bersendirian.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku berpunca daripada motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan tercampak ke lorong sebelah kiri jalan raya.
“Sebuah kereta tidak dapat dikenal pasti secara kebetulan berada di belakang mangsa dikatakan gagal mengelak menyebabkannya dilanggar. Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian masih dalam siasatan dan dalam usaha mengesan saksi bebas yang mungkin ternampak kejadian ini selain pemeriksaan Puspakom sama ada ada dilanggar atau tidak oleh kenderaan lain,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat.
Ujarnya, pemandu kereta yang dikatakan melanggar mangsa digesa membuat laporan polis bagi membantu siasatan. -UTUSAN









