PETALING JAYA: Sebanyak 90 buah atau 86.54 peratus daripada 104 institusi pengajian tinggi (IPT) telah mendapat keputusan berdaya saing manakala sebanyak 14 buah atau 13.46 peratus mendapat keputusan berdaya maju bagi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (Setara) 2022.
Jabatan Pendidikan Tinggi memaklumkan, sebanyak 158 buah atau 90.29 peratus daripada 175 kolej mendapat keputusan berdaya saing manakala sebanyak 17 atau 9.71 peratus kolej mendapat keputusan berdaya maju untuk Sistem Penilaian Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) 2022.
Kata kenyataan itu, keputusan Penarafan IPT 2022 ini menunjukkan lebih 85 peratus IPT mencapai kategori berdaya saing.
“Pencapaian yang memberangsangkan ini membuktikan usaha berterusan kementerian dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar.
“Keputusan ini juga diharap dapat membina kapasiti yang mapan di samping menggalakkan IPT ke arah pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini berhubung keputusan Penarafan IPT 2022 bagi Setara dan MyQUEST.
Menurut Jabatan Pendidikan Tinggi, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi telah membuat pembaharuan pelaksanaan Setara dan MyQUEST 2022 dengan hanya membahagikan kepada dua kategori sahaja berbanding enam kategori sebelum ini iaitu berdaya saing dan berdaya maju.
Katanya, penetapan kategori baharu bagi penarafan Setara dan MyQUEST 2022 ini mengambil kira kesan pandemik Covid-19 ke atas pengurusan IPT.
“Ia dilihat sebagai salah satu pendekatan yang adil dan realistik kepada IPT memandangkan data yang dinilai meliputi 2019, 2020 dan 2021 yang merupakan tahun-tahun negara dilanda pandemik Covid-19. Oleh yang demikian, keputusan penilaian Penarafan IPT 2022 hanya mengguna pakai data 2021,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, Setara merupakan sistem penilaian bertujuan untuk mengukur jaminan kualiti dan standard Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) kategori Universiti dan Kolej Universiti.
“MyQUEST bertujuan menilai prestasi IPTS kategori kolej di Malaysia. Penilaian Setara dan MyQUEST dilaksanakan berdasarkan instrumen dan indikator penilaian yang ditetapkan bagi memacu kepada peningkatan pendidikan berkualiti.
“Keputusan penuh penarafan Setara dan MyQUEST 2022 boleh dilihat di laman sesawang Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT (https://jpt.mohe.gov.my/portal/index.php/ms/setara-myquest) dan soalan lazim berkaitan adalah seperti di Lampiran A yang disediakan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN