Kumpul data, cerita sebenar demi drama provokatif gangguan seksual - Utusan Malaysia

Kumpul data, cerita sebenar demi drama provokatif gangguan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SEMUA gangguan seksual yang ditampilkan dalam naskhah ini diinspirasikan daripada kisah benar.”

Demikian pengakuan penulis skrip, Rafidah Abdullah, 47, ketika bercerita mengenai proses menukang drama bersiri provokatif, Riot mengenai gangguan seksual dalam kalangan mahasiswa.

Riot menceritakan para gadis yang menjadi mangsa gangguan seksual namun aduan mereka diabaikan oleh pihak berwajib hanya kerana pelakunya seseorang yang berkuasa.

Drama sensitif sekali gus penting ini dihasilkan dengan berhati-hati oleh Rafidah.

Keseluruhan skrip drama 10 episod dicanai daripada hasil kajian beberapa tinjauan, temu ramah mangsa di beberapa universiti serta bacaan daripada fakta kes yang pernah dilaporkan akhbar.

Pendek kata, tiada yang semberono dalam naskhah ini.

‘DOUBLE STANDARD’ KES GANGGUAN SEKSUAL

Menerusi Riot yang ditayangkan menerusi saluran Astro Shaw, kes-kes yang diceritakan kepada Rafidah diberi suntikan fiksyen maka terhasillah sebuah band bernama ‘Langkah Mayat’, paduan daripada sekumpulan gadis di universiti yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual pensyarah mereka.

“Dalam berita memang ada banyak cerita tentang pelajar yang terkena gangguan seksual daripada pensyarah mereka. Ketika dia melaporkan kepada pihak universiti, mereka pula yang dipersoal dan dianggap bersalah.

“Ada juga cerita yang sama berlaku di universiti berbeza. Dia melaporkan kes ini kepada pihak polis. Tapi kata polis, mereka hanya ikut hasil siasatan yang dilakukan pihak universiti.

“Kalau universiti kata pensyarah itu tidak bersalah, maka mereka biarkan sahaja. Sedangkan itu kes jenayah dan mereka perlu lakukan siasatan juga,” katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini.

Rafidah tidak mahu ilmu penulisan yang diperolehnya daripada Universiti Goldsmith, London itu berakhir sia-sia.

Dia beranggapan drama adalah platform yang terbaik untuk memastikan isu-isu seperti ini dibincangkan secara meluas dalam kalangan publik.

“Semasa di set penggambaran, saya berbual dengan kru yang mendedahkan anaknya berumur lima tahun turut menghadapi gangguan seksual. Dia kata jirannya tunjuk kemaluan kepadanya.

“Juga wanita yang membantu saya buat tinjauan menjadi mangsa gangguan seksual saudaranya sendiri. Bila diberitahu ibunya, dia meminta untuk senyap dan tidak berbuat apa-apa.

“Generasi sekarang sangat tahu apa itu gangguan seksual dan apa yang boleh dilakukan atau tidak dilakukan. Namun mereka tidak ada kuasa untuk lawan sistem universiti atau sesiapa di pihak atasan,” tambahnya yang berharap drama ini akan dapat menggoncang mereka yang selama menyangka mereka kebal daripada hukuman.

Rafidah turut menulis skrip ini dengan bantuan penulis yang lain seperti Suzanne Ong, Khairi Anwar dan Anwar Hadi. S

ENSITIF NAMUN PENTING

Bercakap kepada Hits ialah pengarah Riot, Shamyl Othman, yang faham beberapa adegan dalam drama ini mungkin akan menimbulkan perasaan kurang enak terhadap mangsa gangguan seksual.

“Cerita ini sangat sensitif jadi kita sangat berhati-hati untuk membawa subjek ini ke layar kerana ramai yang mungkin menghadapi perkara yang sama.

“Kita cuba dapatkan kebenaran di situasi berbeza. Kita bahaskan mengenai sisi lain gangguan seksual secara halus seperti antun seksual (grooming) dan permainan kuasa (power play) dalam proses gangguan seksual.

“Kami memastikan drama ini bersifat memperkasa mangsa dan memberi impak pada masa yang sama,” katanya.

Riot ditayangkan bermula 22 September di Astro Shaw. Turut menjayakan drama ini ialah Nelissa Nizam, Mia Sara Shauki, Tami Anadan, Megat Adli, Aniq Durar, Che Puan Sarimah Ibrahim, dan Rashidi Ishak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya