KUALA LUMPUR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendirian, kenyataan mengkritik tadbir urus lemah Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepemimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dibuat berpandukan kepada komen yang adil.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan, kenyataannya pada Julai lalu menyentuh kebimbangan beliau terhadap kepentingan awam berkaitan kelemahan pengurusan sumber asli Kedah, khususnya unsur nadir bumi (REE).
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mempertahankan kenyataan yang dibuatnya terhadap Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.
Beliau menyatakan demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkannya melalui Tetuan Nav & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar, 14 September lalu.
Pembelaan itu berkaitan saman yang difailkan Muhammad Sanusi (plaintif) kerana mendakwa Setiausaha Agung PKR itu (defendan) memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi dan menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Saifuddin menyatakan, kenyataan mengenai isu Marris merupakan komen yang adil atas alasan pemberian berkanun oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri mesti digunakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan semasa.
Ujar beliau, kerajaan negeri mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk meluluskan pemindahan baki terkumpul dana Marris dalam Akaun Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri Kedah ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Kedah.
Permohonan itu dikemukakan bagi menggunakan dana Marris untuk pembangunan negeri. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh Kementerian Kewangan.
Menurut Setiausaha Agung PKR itu, Seksyen 2(a) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 menyatakan hanya dana yang dibenarkan boleh dimasukkan ke dalam tabung pembangunan negeri dan ia tidak termasuk dana Marris.
“Pengendalian dana Marris oleh Kerajaan Negeri Kedah tidak dibenarkan oleh undang-undang kerana tujuan penggunaan dana itu bertentangan dengan tujuan yang dimaksudkan iaitu untuk penyelenggaraan jalan negeri.
“Justeru, penggunaan atau tujuan penggunaan dana Marris tidak wajar dan menunjukkan ketiadaan pengurusan kewangan yang betul di pihak kerajaan negeri Kedah serta bertentangan
dengan prinsip tadbir urus kewangan yang betul,” ujar Saifuddin.
Berkaitan kebimbangan beliau terhadap tadbir urus sumber asli Kedah, khususnya REE, Saifuddin menegaskan, pentadbiran negeri itu dikaitkan dengan insiden kecurian REE seperti yang dinyatakan dalam surat kompaun.
Pembelaan itu menyebut, pada 27 September 2022, pihak berkuasa telah menyerbu sebuah kawasan di Kompartmen 12, Hutan Simpan
Bukit Enggang, Sik kerana disyaki menjalankan perlombongan haram REE yang mana MBI Kedah ialah pemegang permit dan pemilik berdaftar bagi tanah hutan simpan.
Saifuddin turut berkata, kerosakan reputasi Muhammad Sanusi bukan berpunca daripada kenyataan beliau sebaliknya akibat faktor tadbir urus dan penyelewenan pentadbiran semasa berjawatan Menteri Besar termasuk pertikaian, tindakan undang-undang dan pertuduhan menghasut terhadap kaum kerabat diraja.
Sehubungan itu, beliau menafikan sebarang niat jahat, dendam atau niat untuk memburukkan reputasi Muhammad Sanusi.
Ujar beliau, Muhammad Sanusi tidak mengalami apa-apa kerugian dan kerosakan, sama ada terhadap reputasi atau sebaliknya.
Ia ekoran kejayaannya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada pilihan raya negeri Kedah lalu dengan majoriti lebih 16,000 undi.
Beliau turut mengangkat sumpah semula sebagai Menteri Besar (dengan menguasai lapan portfolio dalam majlis exco kerajaan negeri) selain mengekalkan jawatan Pengerusi MBI Kedah.
Oleh yang demikian, ujarnya, Muhammad Sanusi tidak berhak mendapat relif kerana beliau (Saifuddin) tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kenyataan-kenyataan tersebut.
Pada 7 Ogos lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin pada 3 Ogos lalu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang kemudiannya diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik.
Kenyataan-kenyataan itu didakwa dilakukan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Wakalah, Kementerian Dalam Negeri, bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 14 Julai lalu.
Kenyataan fitnah selanjutnya didakwa dibuat pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, keesokan harinya.
Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi mendakwa beliau tidak pernah menyalahgunakan atau menggunakan sebarang peruntukan Marris bagi tujuan selain daripada yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Ujarnya, baki peruntukan Marris yang tidak dibelanjakan masih berada dalam simpanan tetap kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Merujuk kepada kompaun RM500,000 yang kononnya beliau didenda berhubung kecurian REE, Muhammad Sanusi menjelaskan bahawa denda tersebut dikenakan kepada pihak ketiga yang menceroboh dan mencuri REE.
Pihak ketiga itu sebelum ini dilantik oleh MBI untuk membangunkan kawasan ladang hutan itu.
“Kompaun tersebut telah dikeluarkan bukan atas dasar kesalahan plaintif mencuri unsur nadir bumi tetapi kerana MBI adalah merupakan pemegang permit penggunaan Ladang Hutan tersebut.
“Kompaun tersebut telah dikeluarkan berikutan tindakan pihak ketiga yang beralamat di Kuala Krai, Kelantan melakukan aktiviti pencerobohan serta kegiatan mencuri unsur nadir bumi di ladang hutan itu. Pihak ketiga tersebut telah pun menjelaskan kompaun.
“Kompaun tersebut tidak pernah ditujukan secara khusus kepada plaintif dan tiada sebarang keterangan atau dokumen bertulis yang menyatakan bahawa kompaun tersebut adalah ditujukan secara khusus kepada Plaintif,” kata Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi mendakwa, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu secara tidak langsung telah menggambarkan beliau seorang pencuri, terlibat dalam kegiatan kecurian hasil bumi bagi tujuan mendapatkan kepentingan peribadi dan wang ringgit.
Selain itu, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan yang dibuat defendan turut menggambarkannya sebagai seorang Menteri Besar yang tidak kompeten dan terlibat dalam isu serta permasalahan tatakelola kewangan yang serius dalam pentadbiran negeri Jelapang Padi itu.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menuntut agar Saifuddin membuat permohonan maaf secara terbuka di media cetak dan elektronik dalam mana 14 hari dari tarikh penghakiman serta defendan menarik balik semua video berkaitan kenyataan-kenyataan fitnah itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga memohon satu perintah injuksi bagi menghalang Saifuddin atau mana-mana ejen beliau agar tidak memuat naik, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan atau video berkaitan isu dana Marris dan REE.
Muhammad Sanusi turut memohon ialah ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dan akan diinfaqkan ke badan kebajikan pilihan plaintif.
Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi yang diputuskan sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN