PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak akan meminggirkan kebajikan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) dalam aspek bantuan penyelenggaraan.
Menurut KPM, tahun ini, pihaknya menyediakan sumbangan bantuan penyelenggaraan kepada SBK di seluruh negara yang dibuat berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Sumbangan Bantuan SBK Tahun 2021 dan Tatacara Pengurusan Sumbangan Bantuan SBK Tahun 2023.
“Walaupun peruntukan khas ini diberi khusus kepada Sekolah Kerajaan (SK), KPM tidak sama sekali meminggirkan kebajikan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).
“Belanjawan 2023 memperuntukkan sejumlah RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPM lagi, pihaknya sentiasa berusaha memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi membaik pulih pelbagai kemudahan awam yang rosak di seluruh negara, termasuk tandas sekolah.
Sebulan kemudian, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali memaklumkan, sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri diagihkan. -UTUSAN