KPKT lulus peruntukan RM68 juta pembangunan, tambah baik infrastruktur di Perak - Utusan Malaysia

KPKT lulus peruntukan RM68 juta pembangunan, tambah baik infrastruktur di Perak

NGA Kor Ming (kiri) beramah mesra dengan pelanggan Medan Selera Taman Perpaduan pada Program Sentuhan Kasih KPKT Parlimen Tambun di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM68 juta untuk kerja-kerja pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di negeri ini.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan terbesar setakat Ogos itu diberikan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) kepada 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Katanya, antara projek pembangunan berskala besar yang dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut termasuklah pembangunan semula pasar baharu.

“Setakat hari ini, kita telah meluluskan peruntukan terbesar dalam sejarah bagi 15 kawasan pentadbiran di bawah PBT di Perak.

“Peruntukan ini sebenarnya sangat banyak, ini menunjukkan betapa penting dan bertuahnya negeri ini kerana kita ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang disayangi (Ahli Parlimen Tambun) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang dihormati (Ahli Parlimen Bagan Datuk).

“Malah, saya sebagai menteri KPKT akan beri perhatian khusus kepada negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja program Sentuhan Kasih KPKT ke Parlimen Tambun di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Muhammad Razman Abu Samah; Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Pada sesi lawatan kerja itu, Kor Ming mengadakan tinjauan ke Pasar Tanjung Rambutan, Kolam Takungan Jalan Putra Pertama, kawasan sekitar Bandar Baru Tambun, Taman Rekreasi Woodland dan Medan Selera Taman Perpaduan.

Pada lawatan berkenaan juga, Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM10.73 juta kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam dan penggantian lif.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada RM10.73 juta yang diperuntukkan itu, hampir RM5 juta disalurkan bagi projek pembangunan dan naik taraf di Parlimen Tambun.

Menurut beliau, ia termasuk projek menggantikan longkang di Medan Selera Taman Perpaduan, mengecat Pasar Tanjung Rambutan serta menurap jalan raya dan menaik taraf dewan orang ramai di kampung-kampung di daerah Ulu Kinta termasuk Khantan Baru, Tanah Hitam, Chemor, Changkat Kinding dan Kuala Kuang.

“Dalam Sentuhan Kasih ke Parlimen Tambun hari ini, saya telah diberikan pesanan khusus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Beliau pesan jaga Tambun baik-baik dan pastikan kebajikan dan kesejahteraan warga Tambun diberi perhatian utama,” katanya.

Tambah Kor Ming, projek-projek tersebut akan dilaksanakan segera agar dapat disiapkan selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya