PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan inisiatif sokongan bantuan pasca-bunuh diri sebagai usaha untuk ahli keluarga yang terkesan akibat tingkah laku bunuh diri (post-vention).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, inisiatif tersebut merupakan antara lima usaha kerajaan yang dilaksanakan bagi mencegah tingkah laku bunuh diri.
Menurut beliau, KKM dengan kerjasama semua pihak akan terus memperkukuhkan strategi dan langkah-langkah yang diambil bagi menangani tingkah laku bunuh diri.
“Pewujudan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian Heal 15555 yang bermula sejak 21 Oktober 2022 merupakan talian bantuan krisis pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai psikologi.
“Pelancaran Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) yang dirasmikan pada 31 Julai lalu bersama sesi taklimat bersama media berkaitan pelaporan selamat dan bertanggungjawab berkaitan tingkah laku bunuh diri.
“KKM turut menghasilkan modul latihan pencegahan bunuh diri untuk petugas barisan hadapan bagi meningkatkan kemahiran pengendalian kes tingkah laku bunuh diri seramai 40 orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba dilatih untuk sesi pertama.
“Pembangunan Sistem Registri Bunuh Diri dan Kematian Fatal Kebangsaan (NSFIRM) pula dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024, sistem tersebut membolehkan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri diperoleh serta usaha pencegahan bersasar dapat dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Hari ini merupakan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2023 dan tema yang ditetapkan sejak tiga tahun lalu kekal digunakan iaitu ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ yang memfokuskan peranan masyarakat secara bersama untuk mencegah tingkah bunuh diri terutama pasca Covid-19.
Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2022 melaporkan bahawa bunuh diri adalah antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.
WHO turut melaporkan sebanyak 703,000 kematian di dunia adalah akibat bunuh diri dengan anggaran satu kematian setiap 40 saat.
Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan terkesan dan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
Di Malaysia pula, sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan, terdapat sedikit penurunan dalam kes kematian bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2022 iaitu sebanyak 981 kes berbanding 1,142 kes pada tahun 2021.
Dr. Muhammad Radzi berkata, beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama memainkan peranan dalam usaha pencegahan tingkah laku bunuh diri.
“Antara tindakan yang boleh kita ambil bagi mengenal pasti tanda awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri adalah seperti sentiasa bertanya khabar serta mengambil berat ahli keluarga dan orang sekeliling.
“Selain itu, ambil tahu dan kenal pasti tanda-tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.
“Beri mereka sokongan dan galakan untuk mendapatkan bantuan dan rawatan, elakkan perkongsian sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial dan hapuskan stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku,” katanya.-UTUSAN