Kes plat nombor klasik JPJ: SPRM masuk campur jika wujud elemen rasuah, salah laku

Kes plat nombor klasik JPJ: SPRM masuk campur jika wujud elemen rasuah, salah laku

TAN SRI AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan terlebih dahulu kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyiasat dakwaan salah laku membabitkan kes pendaftaran nombor klasik kenderaan. 

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, jika wujud elemen rasuah dan salah laku barulah pihaknya masuk campur dan menyiasat perkara itu.

Beliau berkata, ketika itu, MOT sudah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes berkenaan seperti diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini.

“Biar pasukan petugas khas MOT siasat dulu dakwaan itu. Pada masa sama, saya minta pegawai saya teliti balik kenapa perkara itu berlaku.

“Tak silap saya ada satu laporan dibuat sebelum ini kemungkinan daripada laporan audit kementerian.

“Kalau berdasarkan daripada situ (laporan audit), bermakna sudah ada laporan polis berkenaan isu itu dan pihak kementerian sudah tahu perkara itu,” katanya pada sesi temubual khas di sini, hari ini.

Katanya, beliau difahamkan, kelulusan pengeluaran nombor pendaftaran klasik ini diluluskan oleh seorang menteri ketika itu.

Azam berkata, jika ia (pengeluaran nombor pendaftaran klasik) mendapat kelulusan menteri maka, itu hak seorang menteri.

“Jadi, kalau menteri meluluskan, itu hak dia untuk meluluskan. Jadi biarlah pasukan penyiasat siasat ada tak elemen salah guna kuasa atau rasuah di sini, baru kita masuk,” katanya.

Katanya, SPRM akan membuka kertas siasatan sesuatu kes bergantung kepada maklumat yang ditimbulkan.

Sebelum ini, MOT menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyiasat dakwaan salah laku membabitkan kes pendaftaran nombor plat klasik kenderaan itu dimana ia turut dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Rospiagus Taha.

Media sebelum ini melaporkan, saluran Telegram, Edisi Siasat mendakwa wujud skandal membabitkan pegawai JPJ apabila nombor plat klasik dihidupkan semula dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit.

Dakwaan turut menyertakan dokumen 28 muka surat dikenali ‘JPJandora Papers’ yang antara lain memaparkan senarai nombor plat kenderaan klasik yang didakwa dipunggah keluar, didaftarkan hak milik serta termasuk ada yang sudah dijual dengan harga amat lumayan sama ada kepada individu atau syarikat.

Dokumen itu turut memperincikan jumlah nombor yang disenarai berdasarkan tahun iaitu sejak 2007, selain mengikut negeri dengan Selangor, Perak dan Johor antara paling tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN