PETALING JAYA: Keputusan sama ada Peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan akan dituduh atau sebaliknya bergantung kepada penilaian dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Setiap keputusan untuk pendakwaan dibuat AGC setelah meneliti dan menimbangkan sepenuhnya semua keterangan yang ada serta dibentangkan dalam kertas siasatan oleh pihak berkuasa.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kertas siasatan membabitkan Jasmine Loo sudah dilengkapkan Polis Diraja Malaysia sebelum dirujuk AGC untuk penilaian mereka.
“Jadi, bergantung kepada keputusan AGC sama ada mahu tuduh atau tidak. Tambahan, Jasmine Loo tampil menyerah diri dan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan.
“Fokus utama kita (polis) adalah untuk mendapatkan semula aset-aset dan harta dimiliki Jasmine Loo yang diperoleh dengan cara tidak betul yang dikaitkan dengan dana 1MDB,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan membabitkan Jasmine Loo diserahkan kepada Pejabat AGC, bulan lalu.
Kertas siasatan yang dirujuk membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Razarudin berkata, siasatan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001 masih giat dijalankan PDRM ketika ini.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin mengesahkan sudah memulakan soal siasat terhadap Jasmine Loo sejak Isnin lalu.
Utusan Malaysia melaporkan, fokus siasatan SPRM adalah membabitkan beberapa pelaburan di luar negara membabitkan wang AS340 juta (RM1.58 billion) dikaitkan dengan 1MDB yang disita dan dibekukan.
Keterangan Jasmine Loo penting bagi mengenal pasti punca kenapa pembayaran itu dibuat oleh syarikat-syarikat yang dijaitkan dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan individu lain kepadanya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, pihaknya berjaya mendapatkan semula kira-kira RM93.2 juta aset merangkumi hartanah dan akaun bank milik Jasmine Loo yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.
Kesemua aset dan hartanah berkenaan dipercayai berada di beberapa negara luar iaitu di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.
Turut dirampas hasil daripada dana 1MDB iaitu dua utas jam tangan mewah iaitu jenama Richard Mille dan Harry Winston dan 13 buah beg tangan termasuk jenama Birkin dan seutas gelang tangan dan pelbagai dokumen.
Jasmine Loo yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low ditahan polis pada 7 Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan. – UTUSAN









