Kemenangan PRK Pulai bukti pengundi tegar UMNO mula terima

Kemenangan PRK Pulai bukti pengundi tegar UMNO mula terima Kerajaan Perpaduan

NUR Jazlan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Parlimen Pulai pada PRK Pulai, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) yang disokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu lalu menunjukkan pengundi tegar UMNO sudah mula menerima Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed berkata, daripada 48,823 undi yang diterima oleh calon PH, dianggarkan kira-kira 10,000 undi datangnya daripada pengundi Melayu khususnya ahli akar umbi UMNO. 

Beliau berkata, angka itu menunjukkan gerak kerja jentera UMNO Pulai berjaya memberi penerangan dan pencerahan seterusnya memberi keyakinan kepada pengundi Melayu tentang kerjasama politik BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan.

“Macam saya cakap di awal-awal kempen, ada segelintir orang UMNO masih ragu-ragu dengan keputusan UMNO bekerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan kerana mereka masih tidak dapat gambaran sebenar kerajaan campuran itu. 

“Sebagai Ketua Bahagian UMNO Pulai, janji saya untuk ‘pujuk’ orang UMNO sokong calon PH serta berkat kerja keras pucuk pimpinan bahagian dan cawangan UMNO Pulai, kita akhirnya berjaya membuka mata ahli akar umbi tentang perlunya kerjasama BN-PH demi kelangsungan politik UMNO.

“Itu juga sebagai satu isyarat bahawa ahli akar umbi UMNO masih wala’ atau setia kepada aspirasi kepemimpinan bahagian dan cawangan. Itulah kekuatan UMNO Bahagian Pulai sejak era Allahyarham bapa saya lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sabtu lalu, PRK Parlimen Pulai menyaksikan calon PH, Suhaizan Kayat memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi sekali gus mempertahankan kerusi disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pertandingan itu menyaksikan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor  memperoleh 48,283 undi mengetepikan saingan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar (29,642 undi) dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).

Jazlan memberitahu, biarpun calon PH hanya dapat 10,000 undi daripada pengundi Melayu dan UMNO, namun, angka itu tetap signifikan kerana ia adalah pengundi yang nyata dan memang berpihak kepada UMNO Pulai sejak pilihan raya sebelum ini. 

Jelasnya, ini memberikan petunjuk yang lebih jelas tentang kedudukan sokongan orang Melayu kepada calon PH dan bagaimana PH tetap perlukan UMNO untuk menang PRK Pulai.

“Bagaimanapun, undi Cina memang tetap ‘solid’ kepada PH terutamanya DAP kerana sekarang ini, orang Cina tiada pilihan lain untuk mereka percaya. Walaupun calon Melayu yang jadi taruhan di sesuatu kerusi, kiblat mereka tetap pada PH kerana mereka tak berani nak percaya PN yang ada Pas di dalam gabungan itu.

“Ia tak sama seperti 10 hingga 15 tahun lalu, orang Cina ada pilihan untuk pilih MCA atau Gerakan, tetapi, selepas dua-dua parti itu mereka lihat tidak mampu perjuangkan hak dan kepentingan mereka lagi, mereka beralih kepada DAP. 

“Yang tinggal sekarang ini, macam mana DAP nak tolong pula untuk yakinkan lebih ramai pengundi Melayu berikan sokongan kepada PH di Pulai dalam tempoh tiga tahun akan datang,” soalnya.

Katanya, sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, UMNO Pulai sudah mula bekerja untuk memulihkan keyakinan orang Melayu terhadap parti dan tidak duduk diam apabila terus menerus berikan penerangan kepada akar umbi bila ada isu termasuk isu kerjasama Kerajaan Perpaduan.

“Itulah bezanya antara parti yang ada rekod cemerlang yang panjang dan tersusun berbanding parti yang hanya mengharapkan perubahan cuaca politik semasa untuk tarik sokongan. 

“Jadi, semua pihak jangan ingat, taufan pengundi tolak UMNO dan sokong PH serta PN akan kekal sehingga penggal depan. Cuaca politik sama juga dengan keadaan cuaca di Malaysia yang sukar diramal, bila-bila masa boleh berubah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN