PETALING JAYA: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini menjadi tanda politik toksik dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) ditolak.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kemenangan tersebut merupakan simbolik penolakan politik toksik, perkauman dan juga ekploitasi agama yang dimainkan oleh Pas-PN.
Menurut beliau, fitnah yang diadakan untuk melagakan keharmonian rakyat dan sesama umat Islam ditolak oleh pengundi di Parlimen Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
“Kerjasama PH dan BN di Johor kini menemukan temponya dan diharapkan menjadi model yang boleh dibaiki di seluruh negara bagi menghadapi PRU akan datang. Cakap-cakap Kerajaan Perpaduan akan bertukar pada Ogos hanyalah bisikan-bisikan jahat yang mahu meliht perpaduan dan kestabilan ditumbangkan.
“Bisikan halus jahat ini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan apakah PN ini tumpuannya semata-mata mahu menjatuhkan kerajaan atau hendak membina negara? “ katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, dua PRK tersebut menyaksikan calon yang mewakili PH-BN iaitu Suhaizan Kayat untuk Parlimen Pulai dan Nazri Abdul Rahman bagi DUN Simpang Jeram.
Dr. Muhahid Yusof yang juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, kini adalah misi untuk memastikan momentum gelombang sedia ada.
“Perjalanannya masih panjang kerana gelombang fitnah tidak akan berhenti dari membisik dengan suara halus ‘waswasil khannas’ untuk mengelirukan rakyat dari kalangan ‘minal jinnati wannas’.
“Berlindunglah dengan selalu menyebut ‘Hasbunallah wa Nikwat Wakil, Nikmal Maula wa Nikman Nas’ katanya.-UTUSAN