BENTONG: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai penting bagi menyampaikan mesej Kerajaan Perpaduan yang mendukung semangat penyatuan seluruh rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semangat penyatuan dalam Kerajaan Perpaduan menjadi asas kepada perjuangan kerana ia dapat menstabil dan memakmurkan negara.
“Kita mengharapkan suasana di Sarawak ketika ini dapat juga diwujudkan di Semenanjung, jangan lagi berpecah inilah peluangnya untuk kita satukan. Kalau BN-DAP dapat duduk bersama bayangkan perkara yang tidak mustahil boleh kita kukuhkan perpaduan dan kesatuan rakyat pelbagai kaum.
“Kami di Sarawak dulu pun kata No DAP tetapi demi negara, untuk perpaduan dan kekuatan negara kita, untuk kemakmuran negara, kita korbankan prinsip tetapi kita hendak bersatu untuk negara dan rakyat,” katanya pada majlis perjumpaan Calon BN bersama jentera MCA Telemong di sini, semalam.
Fadillah berkata, semangat penyatuan adalah komitmen Kerajaan Perpaduan yang tidak mahu melihat perpecahan sebaliknya kesatuan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
Menurutnya, komitmen semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan ini dapat memastikan kestabilan dikekalkan seterusnya memperbaiki kewangan negara.
“Kami di Sarawak itulah fokus kami, bukan saya hendak sombong tetapi nak berkongsi, bila kita lihat di Sarawak itu sendiri tidak ada banyak politik. Politik hanya waktu pilihan raya, selepas pilihan raya semua memberi tumpuan menguruskan negara dan negeri.
“Alhamdulillah, Sarawak dari segi kedatangan pelabur begitu ramai sekali. Malah kawan-kawan saya di semenanjung kata dapat tidak berpindah ke sana, terutama pelabur, saya kata bolehlah tetapi kena bawa duit banyak sikit,” katanya. – UTUSAN