Keajaiban pesawah Kedah, Perlis - Utusan Malaysia

Keajaiban pesawah Kedah, Perlis

PESAWAH melihat hasil padi yang dipindahkan daripada mesin padi ke lori sebelum dibawa ke pusat jualan di Kampung Alor Redis, Arau, Perlis. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketika dunia berdepan kenaikan harga beras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, rakyat boleh menarik nafas lega apabila usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran padi melalui sistem penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun membuahkan hasil.

Projek perintis yang dilaksanakan di Perlis dan Kedah bukan sahaja berjaya menambah pusingan penanaman padi tetapi juga dapat meningkat hasil bagi setiap hektar daripada sekitar empat hingga lima tan sehektar sebelum ini kepada kira-kira 10 tan sehektar.

Di Perlis, projek perintis penanaman padi lima kali dua tahun di Kampung Lat 1000 ternyata me­nunjukkan perkembangan positif dalam usaha mencapai tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras apabila mampu menghasilkan 10.45 tan padi bagi setiap hektar sawah yang diusahakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini secara langsung meningkatkan pendapatan petani hingga 50 peratus.

Kira-kira 70 pesawah terlibat dengan Projek Smart Sawah Berkala Besar (Smart SBB) Mini Sekinchan Mada di Kampung Lat 1,000 itu membabitkan keluasan 100 hektar.

Melihat kepada perkemba­ngan hasil padi berkenaan, projek tersebut mungkin diperluaskan pada musim depan melibatkan kawasan seluas 300 hektar di Kuala Sanglang.

Difahamkan hasil lebih 10 tan metrik per hektar itu disifatkan paling tinggi pernah direkodkan di negeri itu memandangkan hasil kebanyakan pesawah sebelum ini hanya sekitar empat ke lima tan metrik bagi keluasan sama.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, ketua projek, Allen Lim Mauson, 50, berkata, hasil padi pada musim ini di kawasan ber­kenaan mencecah sehingga 1,045 tan metrik iaitu jumlah yang cukup tinggi selepas pesawah mengikut kaedah penanaman Smart SBB.

Katanya, selepas Sekinchan, hasil lebih 10 tan metrik per hektar itu antara tertinggi di negara ini.

Katanya, selain teknologi moden serta sistem pengairan yang baik, usaha dan disiplin pesawah khususnya pengurusan bendang itu juga antara faktor kepada peningkatan hasil berkenaan.

“Berikutan peningkatan hasil berkenaan, pendapatan pesawah boleh mencecah sehingga RM10,000 per hektar berbanding sebelum ini sekitar RM4,000 ke RM5,000 iaitu peningkatan sehingga lebih 50 peratus.

“Hasil yang dituai musim ini selepas mengikut kaedah penanaman seperti di Sekinchan sangat tinggi selain hasil padi yang cukup cantik. Penanaman mengikut kaedah tersebut (projek Smart SBB Mini Sekinchan) itu perlu diperluaskan kerana hasilnya sudah nyata.

“Disiplin pesawah sa­ngat pen­ting khususnya dari aspek pengurusan sawah seperti masa untuk proses menabur baja, racun, buang padi angin selain sistem pengairan yang baik. Bukan sahaja di Perlis direkodkan paling tinggi malah di seluruh negara,” katanya baru-baru ini.

Smart SBB mula diperkenalkan pada awal 2021 dan adalah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan kadar SSL.

Difahamkan setakat ini, program tersebut telah dilaksanakan di kawasan seluas 11,000 hektar di seluruh negara melibatkan 4,000 pesawah dengan sasaran keseluruhan 240,000 pesawah terlibat dengan program Smart SBB itu.

Keluasan kawasan tanaman padi di seluruh Perlis ialah 29,200,72 hektar membabitkan 19,034,53 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 10,166,16 hektar di luar kawasan MADA de­ngan keseluruhan pesawah 17,930 orang.

Di Kedah pula, Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, projek rintis penanaman padi lima kali dua tahun dalam skala besar melibatkan MADA bagi kawasan jelapang padi dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah untuk sawah luar.

Ismail berkata, sehingga kini pihaknya telah melaksanakan penanaman padi lima kali di kawasan seluas 213.99 hektar yang melibatkan 165 petani.

Antara lokasi tersebut adalah 51.6 hektar di Titi Baru; 16.6 hektar (Plot B); 52.9 hektar (Pantai Jamai) dan 48 hektar di Titi Gajah A, selain tiga lagi lokasi dalam Kawasan Muda di Perlis.

Beliau berkata, MADA memiliki seluas 30,000 hektar sawah di Kawasan Muda yang berpotensi dilaksanakan penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun itu secara berperingkat dengan perancangan menambah baik infrastruktur pembinaan sistem tersier di kawasan berkenaan.

“Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia yang merangkumi kawasan seluas 130,282 hektar yang mana 100,685 adalah kawasan penanaman padi yang terletak di Kedah dan Perlis.

“Malah, teknologi yang bersesuaian juga memainkan pe­ranan untuk penghasilan padi lima kali dua tahun itu bagi memastikan tanaman padi dapat dilaksanakan dengan baik contohnya seperti penggunaan varieti tempoh matang pendek,” katanya.

Ismail berkata, cadangan kerajaan melaksanakan penanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun itu diyakini mampu meningkatkan semula pengeluaran padi sekali gus menjamin SSL beras negara.

“Dengan syarat bukan sahaja infrastruktur berada dalam kea­daan baik tetapi pesawah mematuhi jadual penanaman yang telah ditetapkan kerana jika musim pertama sudah terlewat bagaimana mahu selitkan penanaman yang kelima dalam tempoh dua tahun itu,” katanya.

Tambah beliau, tidak ada sebarang perubahan drastik dilaksanakan setakat ini bagi menjayakan agenda penanaman padi lima kali dua tahun itu kecuali penambahan satu musim antara tahun pertama dan kedua.

“Ini bermakna kalau hasil padi kali pertama dan kedua sekitar enam tan metrik per hektar, kita menganggap hasil padi pada penambahan musim penanaman juga sama jumlahnya yang secara tidak langsung meningkatkan hasil pengeluaran padi negara,” katanya.

Sementara itu, penanaman bagi kawasan luar jelapang di Kampung Rantau Panjang, Kuala Muda, Kedah juga telah dimulakan sejak April lalu untuk musim 1/2023 sebelum penambahan satu pusingan penanaman sekitar Januari hingga Februari tahun depan bagi melengkapkan lima kali penanaman itu.

Projek rintis secara berkelompok di kawasan seluas 110 hektar yang dikelolakan Jabatan Pertanian Ne­geri Kedah itu menggunakan benih MR220 CL2 yang boleh dituai dalam tempoh tidak sampai 100 hari.

TANAMAN LIMA MUSIM BERISIKO TERSASAR

Realiti tanaman padi lima musim yang pernah dilaksanakan sekitar 2015 hingga 2016 di Selangor tidak seperti digambarkan apabila projek perintis tersebut didakwa gagal mencapai matlamatnya.

Selangor hampir 10 tahun lalu menjadi pelopor kaedah tersebut melibatkan 60 petak sawah de­ngan keluasan keseluruhan 72 hektar pada empat blok kawasan di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

Bagaimanapun projek itu dianggap gagal kerana tidak mencapai matlamat yang menyasarkan hasil melebihi 40 tan metrik untuk satu pusingan bagi setiap petak sawah apabila berat padi diperoleh untuk kaedah tersebut hanya sekitar 12 hingga 15 tan.

Jumlah tersebut, 70 peratus jauh tersasar berbanding sasaran menyebabkan keseluruhan puluhan pesawah yang terlibat ketika itu kecewa dan menarik diri kerana kos yang terlalu tinggi dan tidak berpadanan dengan hasil.

Oleh demikian, cadangan kerajaan untuk melaksanakan projek sedemikian wajar diperhalusi sebelum dilaksanakan supaya matlamat peningkatan hasil dapat dicapai.

Bukan sahaja terhadap kualiti benih padi dan ketahanannya berdepan ancaman ‘padi angin’ serta serangan penyakit, bahkan kemampuan tanah sawah untuk ‘menanggung beban’ pusingan penanaman makanan ruji itu juga perlu dinilai.

Saipol Bahri Sahlan, 62, yang merupakan salah seorang pesawah terlibat melaksanakan projek tersebut sebelum ini mendedahkan, ketika itu pelbagai agensi kerajaan berkaitan sawah padi terlibat me­laksanakannya.

“Cakap gagal terlalu kasar, tetapi itulah hakikatnya. Akhir­nya pesawah sendiri mengeluh, ada juga yang ‘menyumpah’ ke­rana terlalu kecewa, lima musim bukan suatu yang mudah dan tempoh dua tahun itu bukan singkat.

“Lima musim dalam tempoh itu bermakna kos pesawah me­ningkat berbanding empat musim. Bagi satu musim, seorang pesawah menanggung sehingga RM2,000 kos bagi mengurus tanah dan meracun, itu selepas ditolak subsidi daripada kerajaan.

“Jadi, untuk lima musim pesawah belanja sekitar RM10,000 untuk keseluruhan, tetapi hasilnya pula kurang, sekitar lima hingga tiga tan semusim. Kalau dibandingkan dengan harga pukal padi sekarang pun, langsung tak berbaloi.

“Pada peringkat permulaan, memang pesawah pun teruja memandangkan hasil yang bakal diperoleh itu dilihat berbaloi de­ngan usaha, tetapi bila akhir-akhir­ musim cuma dapat lima hingga tiga tan, siapa sanggup buat,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu Saipol Bahari menjelaskan, kali pertama projek tersebut dilaksanakan di blok D, K, P dan V, Kampung Sawah Sempadan, mereka menggunakan jenis benih padi yang mengambil masa sekitar 100 hingga 105 hari untuk matang dan dituai.

Menurutnya, kawasan tersebut dipilih kerana berada paling dekat dengan tali air dan mempunyai saiz palong yang besar dan berupaya mengairi setiap 1.2 hektar petak sawah.

“Ketika itu kami menggunakan benih padi jenis MR220 CL yang diperkenalkan pada 2010. Benih tersebut pada musim biasa boleh hasilkan buah padi sekurang-kurangnya sekitar lapan tan. Kalau lima musim dalam dua tahun, sepatutnya boleh dapat 40 tan keseluruhan.

“Penanamannya dilakukan mengikut pelan dan jarak antara musim adalah sekitar 45 hari untuk pengurusan tanah.

“Tempoh 45 hari adalah minimum untuk pengurusan tanah, untuk dibakar, biar betul-betul kering dan diracun rumput sebelum memulakan musim sete­rusnya,” katanya.

‘TANAH KURANG REHAT’

Sementara itu, seorang lagi pesawah yang pernah menyertai projek tersebut, Rosul Sirat, 55, di Blok V kampung tersebut memberitahu, projek berkenaan dilihat gagal dan hasil padi tidak seperti diharapkan kerana faktor tanah ‘kurang rehat’.

“Tanaman padi adalah pertanian yang kritikal kerana melibatkan pengairan dan penggunaan racun yang banyak.

“Satu musim, kita kena racun antara enam hingga 10 kali untuk memastikan bebas serangan serangga, penyakit dan sebagainya.

“Bayangkan dalam tempoh dua tahun hampir 50 kali tanah menyerap kandungan racun, baja dan selama ratusan hari ia berada dalam rendaman air bersama bahan tersebut. Jadi, tanah juga perlukan rehat,” jelasnya.

Bagi seorang pesawah muda, Firdaus Mispar, 26, yang mempunyai sawah di blok P, K dan V memaklumkan, dia masih ingat kekecewaan pengusaha-pengusaha tanaman tersebut ketika itu yang rata-ratanya mengalami kerugian.

“Betapa kecewanya pesawah ketika itu. Mereka tak mahu lagi terlibat atau buat tanaman lima musim. Memang tanah tak cukup rehat, kalau dua musim ketika itu boleh dapat sehingga 12 tan semusim, projek lima musim pula pada musim terakhir dapat tiga tan, siapa sanggup?” Soalnya.

SELESAIKAN MASALAH PENGAIRAN

SAIPOL Bahri Sahlan meninjau dan menunjukkan pintu saluran air yang masuk ke dalam petak dari palong dekat sawahnya di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor. – MINGGUAN/SADDAM YUSOFF

Bagaimanapun bagi pesawah di Sekinchan, Pua Tian Wui, 32, menurutnya rata-rata pengusaha di sana mengetahui mengenai cada­ngan kerajaan untuk melaksanakan tanaman padi lima musim, namun mereka meminta masalah peng­airan diselesaikan terlebih dahulu.

“Dua musim pun susah, apa lagi hendak buat lima musim dalam dua tahun. Kerajaan kena tolong selesaikan masalah pe­ngairan, pergi tengok dalam palong, ada air tak sekarang? Sebab itu saya kena pam air dari parit air keluar.

“Masalah sedemikian kerap sangat berlaku terutama bila jarang hujan, kawasan sawah jadi kering, air dalam palong tak cukup dan pesawah terpaksa pam air.

“Hal itu pun sudah tambah kos, buat lima musim, lagi banyak belanja,” katanya.

Seorang lagi pesawah di kawasan berkenaan, Ah Ti, 60, memberitahu, dia khuatir tanaman lima musim tidak menjadi kerana tanah perlukan rehat yang cukup supaya hasil bagi musim seterusnya tidak terjejas.

“Empat musim dapat 40 tan, lima musim dapat berapa? Tanah perlu rehat, kalau tak kering nanti hasil tanaman untuk musim seterusnya tak banyak.

“Sebab kalau buat lima musim, kalau hasil tak banyak, yang untung cuma tuan tanah.

“Di Sekinchan ini, mereka kutip sewa RM6,000 setiap musim, kalau lima musim mereka untung, kita kalau hasil banyak tak apa, kalau kurang macam mana?” Soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini