KEMAMAN: Kanak-kanak berusia sembilan tahun yang sebelum ini tidak sedarkan diri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan bapa dan dua adiknya di Kilometer 154 Jalan Jerangau-Jabor dekat persimpangan Cheneh-Mak Lagam, pada Jumaat lalu, mula menunjukkan reaksi positif.
Ibu saudaranya, Norhidayah Salmi Harun, 42, berkata, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, mula boleh bernafas sendiri tanpa alat bantuan pernafasan sejak pagi semalam.
Dia yang menemani kanak-kanak itu di hospital berkata, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Chukai itu juga ada menunjukkan tindak balas dengan menggerakkan anak matanya dan jari ketika namanya dipanggil.
“Alhamdulillah, Nia (Ammzar Hussniah) mula menunjukkan respons positif walaupun berada dalam keadaan separa sedar.
“Semalam ketika tiub pernafasannya dicabut, dengan perlahan-lahan dia memanggil ‘Walid dan juga Mommy’ beberapa kali. Insya-Allah dia kuat dan akan sedar sepenuhnya,” katanya.
Norhidayah Salmi berkata, Nia sangat manja dan rapat dengan arwah bapa angkatnya, Ammir Hussein Mohamad, 38, dan ibunya, Norhafizah Sazwa Harun, 38.
“Dia belum tahu Walid dan adik-adiknya telah meninggal dunia. Mungkin bila dia sedar dan pulih, ibunya akan beritahu hal sebenar,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, kenderaan Naza Citra yang dipandu Norhafizah Sazwa dari arah Kuala Terengganu ke arah Cheneh, tiba-tiba dirempuh sebuah lori yang keluar simpang secara mengejut dari arah Mak Lagam, dipercayai mempunyai masalah brek.
Kemalangan itu turut mengorbankan dua kanak-kanak lelaki iaitu Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein berusia setahun.
Norhidayah Salmi berkata, insiden itu turut menyebabkan kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan di beberapa anggota badan lain termasuk patah di bahu kanan dan pergelangan kaki kanan.
“Doktor beritahu, Nia mungkin memerlukan masa sehingga lima bulan untuk dia pulih sepenuhnya termasuk fizikal dan mental. Kami sekeluarga tetap sabar menunggu Nia pulih,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan Norhafizah Sazwa, Norhidayah Salmi berkata, adiknya seorang yang kuat semangat walaupun kehilangan suami dan dua anak.
“Dia (Norhafizah Sazwa) reda dengan ujian Allah. Dia ada luahkan pada saya, dia rindukan anak-anak. Masa nak makan pun teringat sebab anak-anaknya sangat gemar makan.
“Selalunya dia suka rekod video dan gambar telatah anak-anaknya, itulah pengubat rindunya kepada anak-anak,” katanya.
Norhidayah Salmi berkata, Norhafizah Sazwa yang hamil tujuh bulan dan memandu kenderaan Naza Citra pada hari kejadian, sedar ketika keretanya dirempuh sebuah lori ketika kejadian berlaku. – UTUSAN










