BENTONG: Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu menaruh keyakinan tinggi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai meskipun pernah memperoleh majoriti selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun mengambil kira undi BN kira-kira 4,000 undi dan 2,000 undi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya sebelum ini, pihaknya tidak mahu mengambil mudah dengan cabaran pihak lawan.
Katanya, Perikatan Nasional (PN) telah mula berkempen di sini sejak awal dan jentera parti BN perlu melihat perkara itu untuk terus berusaha sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
“Jangan terlalu over confident (yakin) sebab pihak lawan telah bermukim di sini. Jadi kita perlu ambil langkah untuk mendekati pengundi.
“Dahulu Allahyarham Datuk Johari dapat lebih 4,000 undi, calon PH pula 2,000 undi maka kedua-dua lebih 6,000. Namun jangan terlalu mudah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid hadir mengiringi calon BN, Datuk Amizar Abu Adam ke Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu merupakan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang hadir memberikan sokongan kepada calon BN.
Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan PN yang masing-masing turun dengan misi wajib menang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keserasian jentera parti-parti Kerajaan Perpaduan khususnya PH dapat membantu kemenangan BN dalam pilihan raya itu pada 7 Oktober ini.
Katanya, bermula di PRK Pulai dan Simpang Jeram, beliau yakin kemenangan berkembar itu dapat diteruskan di Pelangai.
“BN menaruh harapan kepada calon boleh menang, beliau (Amizar) juga anak Felda. Tentunya 11,000 pengundi mengharapkan khidmat seperti dilakukan Allahyarham Datuk Johari.
“Saya berasakan beliau calon yang terbaik dan akan meneruskan kesinambungan Datuk Johari,” katanya. – UTUSAN