Jabatan Penjara sedang memfailkan 1,020 permohonan semakan hukuman mati, pemenjaraan sepanjang hayat  - Utusan Malaysia

Jabatan Penjara sedang memfailkan 1,020 permohonan semakan hukuman mati, pemenjaraan sepanjang hayat 

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Permohonan semakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat bagi 1,020 banduan sedang difailkan oleh Jabatan Penjara dalam tempoh 90 hari, bermula hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, ia berikutan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) yang menerima perkenan Diraja pada 9 Jun lalu dan diwartakan pada 16 Jun tahun ini, berkuat kuasa bermula hari ini.

Katanya, langkah itu bertujuan menghormati hak untuk hidup setiap individu di Malaysia, sambil memastikan keadilan bagi semua pihak.

“Pun begitu, permohonan kajian semula hukuman mati bagi 491 banduan warganegara dan 415 warga asing hanya boleh dikemukakan sekali sahaja dan mahkamah berhak membuat keputusan untuk sama ada mengekalkan hukuman tersebut  ataupun menggantikannya dengan hukuman gantian sepertimana diperuntukkan dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846)

“Begitu juga dengan 82 rakyat Malaysia dan 32 warga asing yang sedang menerima hukuman pemenjaraan sepanjang hayat boleh mengemukakan permohonan penyemakan semula hukuman dan mahkamah hendaklah menggantikan hukuman sepanjang hayat tersebut dengan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun,” katanya ketika sesi penerangan berhubung proses pelaksanaan Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat kepada media, hari ini.

Tambah Ramkarpal, permohonan mengkaji semula hukuman perlu dibuat dalam tempoh 90 hari daripada tarikh kuat kuasa akta, namun mahkamah boleh mempertimbangkan pelanjutan tempoh untuk mengemukakan permohonan kajian semula hukuman tertakluk alasan yang munasabah.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan memberitahu, Kerajaan Perpaduan akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) mulai hari ini.

Jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung dengan semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat yang dicadangkan hasil daripada pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

Ia termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Majlis Peguam Malaysia.

Selain itu, turut terlibat ialah Sabah Law Society (SLS) dan Advocates Association of Sarawak (AAS) bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN