KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar tidak menolak kemungkinan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri ini akan meningkat berkaitan dengan harga beras yang meningkat sejak baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, satu kertas hukum akan dibawa kepada jawatan kuasa syariah dan mereka akan menentukan sama ada kadar harga zakat akan meningkat berdasarkan kepada harga beras ketika ini.
Beliau bagaimanapun akan memastikan keputusan yang akan ditentukan oleh jawatan kuasa syariah itu nanti tidak akan membebankan rakyat.
“Saya dimaklumkan, Insya-Allah, harga zakat setakat ini tidak akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Pelancaran Wakaf Tablet (MAIWP) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar.
Dalam majlis tersebut, MAIWP menghulurkan bantuan sebanyak RM1.6 juta kepada 490 orang pelajar cemerlang.
Majlis tersebut diadakan untuk meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan juga anak-anak yang diberikan bantuan daripada Baitulmal MAIWP.
Setiap pelajar akan menerima satu unit komputer riba dan insentif tunai melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan kadar RM500 sehingga RM1,000 mengikut keputusan pelajar. -UTUSAN