Ipoh selepas ketiadaan Yasmin dan Mamat Khalid - Utusan Malaysia

Ipoh selepas ketiadaan Yasmin dan Mamat Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Ipoh di skrin tidak lagi sama selepas kehilangan Yasmin Ahmad dan Mamat Khalid”

Begitu luah pengarah dan penulis skrip, Haris M Nor ketika bercerita tentang bandar raya Ipoh yang menjadi lokasi penggambaran filem terbaharu arahannya bersama Ariff Zulkarnain, Doh.

Menurut Haris, jika disemak kembali sejarah filem yang pernah dihasilkan Yasmin dan Mamat semasa hayat mereka, kedua-duanya rajin mengangkat keunikan dan keindahan bandaraya Ipoh ke layar perak.  

Mengupas lebih dalam, Haris menjelaskan ada sesuatu tentang Ipoh yang bernilai tinggi untuk difilemkan terutamanya suasana tenang dan santai bandar itu. Dalam kata mudah, Ipoh mempunyai ‘roh’ sendiri yang hidup antara kemodenan dan keutuhan sejarah. Masyarakatnya pula berseni dan ramah.

Namun selepas kedua-dua pengarah itu meninggal dunia, Ipoh seakan-akan sepi di layar kaca. Kalau ada pun yang cuba menjadikan Ipoh sebagai latar, jarang sekali berjaya membawakan ‘semangatnya’ ke dalam karya.

“Latar atau tempat di dalam sesebuah filem bukan hanya tentang lokasi, tetapi karakter. Contohnya bila kita tengok filem Imaginur, Tasik Timah Tasoh merupakan sebuah karakter yang menghidupkan filem itu. 

“Jadi, penting itu kita pilih karakter berdasarkan di mana sesuatu cerita itu berlaku. Ipoh ada semangatnya sendiri iaitu perasaan laid back, santai, yang berjaya diterjemahkan menerusi filem-filem Yasmin Ahmad dan Mamat Khalid,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Sebagai individu yang membesar di Ipoh, Haris berpadu tenaga dengan Ariff Zulkarnain sebagai pengarah serta penerbit Indigo Films, Syafiq Kyle membawakan sebuah filem yang disifatkan sebagai ‘surat cinta’ kepada bandar raya itu.

Diinspirasikan daripada sebuah bakeri tua yang berusia 120 tahun di Ipoh, Doh menceritakan bagaimana seorang lelaki bernama Faiz pulang ke bandar itu setelah lama menetap di Kuala Lumpur. Dia diminta menjaga kedai roti warisan milik arwah bapanya.

Apa yang menjadikan filem ini lebih istimewa, mereka turut mengundang komuniti Ipoh untuk sama-sama terlibat dengan projek ini. 

Kami suka mendokumentasikan bangunan dan komuniti Ipoh dalam filem ini. Kita bawakan  Amen Khalid iaitu anak kepada arwah Mamat Khalid untuk berlakon sama. Bukan itu sahaja, ada beberapa pemuzik indie asal Ipoh  turut berkolaborasi dalam projek ini. 

“Janggal rasanya untuk buat filem tentang Ipoh tapi kita tidak libatkan komuniti mereka. Lagi pula orang Ipoh sangat kreatif, ibaratnya kalau kita toreh tangan mereka, memang mengalir darah seni,” seloroh Ariff.

Doh dihasilkan oleh syarikat produksi Indigo Films milik pelakon terkenal Syafiq Kyle. Menurutnya, penerbitan Doh adalah bukti bahawa Syafiq sangat serius bergelar anak seni di samping merancang untuk duduk di atas kerusi pengarah suatu hari nanti. 

“Saya belum bersedia untuk mengarah tapi saya masih dalam proses belajar. Memang sudah menjadi cita-cita saya untuk menghasilkan sebuah filem sendiri. Alhamdulillah, Allah beri izin saya merealisasikan cita-cita ini. 

“Kami tak buat filem ini hanya sebab duit. Tapi atas sebab minat, kerja keras, impian dan pengalaman,” kata Syafiq.

Doh boleh ditonton menerusi aplikasi tonton bermula 16 September. Turut sama menjayakan filem itu ialah Sherlyn Seo, Fabian Loo, Fatimah Abu Bakar dan Aida Amron. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN