PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dijangka bertambah baik tahun depan selepas beberapa inisiatif baharu seperti pengenalan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dan kaedah Perjanjian Penanguhan Pendakwaan (DPA) dilaksanakan kerajaan.
Pada masa kini, Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 diperoleh pada tahun 2021.
Skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022. Jumlah skor tersebut merosot berbanding 53 mata yang dicatatkan pada tahun 2019 iaitu tertinggi dalam tempoh 11 tahun sejak 2012.
Skor 53 diperoleh pada tahun 2019 antaranya disumbangkan oleh Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang merangkumi 22 strategi membabitkan enam sektor utama iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat serta mengandungi 115 inisiatif anti rasuah.
Untuk rekod, skor mendekati 100 adalah terbersih manakala kosong adalah terkorup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penetapan skor tersebut bergantung kepada 12 indikator antaranya rasuah, penyelewengan dana awam, penguatkuasaan mekanisme integriti, komitmen memerangi rasuah, sekatan ke atas kebebasan bersuara dan beberapa lagi.
Menurutnya, Malaysia kini berada di landasan betul apabila mensasarkan kedudukan ke-25 dalam senarai CPI untuk tempoh 10 tahun akan datang serta memperkenalkan strategi bagi merealisasikannya.
“MCW terlibat secara langsung dalam merangka NACS yang kita percaya tidak mustahil untuk membantu Malaysia memperbaiki kedudukan dalam senarai CPI pada tahun depan.
“Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan komitmen untuk melaksanakan semua perkara yang termaktub dalam NACS supaya menepati sasaran pada kedudukan ke-25 dalam senarai CPI,” katanya.
Ketika CPI diperkenalkan pada tahun 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 dengan skor mata 5.28. Namun, kedudukan negara mulai menurun ke tangga ke-26 (1996), tangga ke-32 (1997) dan terus merosot hingga saat ini.
Mengulas lanjut, Jais berkata, pihaknya juga percaya tindakan kerajaan memperkenalkan perjanjian DPA akan memberi kesan positif kepada kedudukan negara dalam senarai CPI pada tahun depan.
Menurutnya, DPA adalah suatu kaedah atau alat yang penting dalam menangani kes-kes rasuah namun ia bergantung kepada pelaksanaannya yang telus dan bertanggungjawab.
“Matlamat utamanya harus fokus kepada pemulihan harta yang dicuri untuk faedah negara dan pencegahan dari berlakunya pelanggaran undang-undang pada masa hadapan.
“DPA punyai kelebihan dan kekurangan yang perlu diperhalusi secara teliti. Kelebihan utamanya adalah untuk mendapatkan harta yang telah diseleweng itu dengan lebih cepat. Ia akan memberi banyak manfaat kepada negara.
“Ia juga akan mengurangkan kos berkaitan dengan perbicaraan dan masa siasatan yang panjang,” katanya. – UTUSAN










