PENINGKATAN masalah rabun jauh atau miopia dalam kalangan kanak-kanak mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia terutama selepas Covid-19.
Kajian di negara-negara luar mendapati, situasi itu makin meruncing apabila perintah kawalan pergerakan dilaksanakan dan sesi persekolahan dijalankan secara dalam talian.
Selain genetik, rabun boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran seperti pembangunan masyarakat luar bandar dan gaya hidup moden.
Pakar Oftalmologi Pediatrik dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Chin Pik Kee berkata, sesetengah kejadian mungkin tidak dapat dielakkan, misalnya penggunaan komputer atau tablet untuk kelas dan kerja sekolah.
Bagaimanapun, terdapat beberapa cara membantu mengurangkan simptom dialami golongan sasar dengan menerapkan tabiat yang baik.
Antaranya, mengalihkan pandangan dari skrin dan melihat sesuatu objek pada jarak jauh setiap 20 minit diikuti kerap mengedipkan mata, duduk dengan postur yang baik dan berehat seketika pada selang masa ditetapkan.
“Jika kanak-kanak menghabiskan masa yang lama di hadapan skrin untuk belajar, adalah wajar untuk mengurangkan masa skrin mereka sewaktu santai.
“Bagi yang berusia bawah 10 tahun, saya mencadangkan masa skrin mereka dihadkan kepada maksimum dua jam sehari dan diselang-seli dengan waktu rehat,” katanya baru-baru ini.
Pik Kee turut menyarankan ibu bapa tidak mendedahkan bayi dengan penggunaan gajet sehingga mereka mencapai umur dua tahun.
“Selepas usia tersebut, mereka boleh melakukan aktiviti menggunakan gajet bersama ibu bapa atau penjaga, dan bukan secara bersendirian serta tanpa pengawasan,” katanya.
Luang masa di luar rumah
Golongan kanak-kanak memerlukan masa untuk bermain dengan kreatif, melakukan aktiviti fizikal dan meluangkan masa di luar rumah.
Kesemua elemen itu penting untuk pertumbuhan dan perkembangan holistik mereka.
Kajian turut menunjukkan masa di luar rumah merupakan faktor penting untuk pertumbuhan mata yang normal sewaktu zaman kanak-kanak.
Kata Pik Kee, kanak-kanak yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam di luar rumah setiap hari kurang cenderung mengalami miopia.
“Sekiranya perlu memakai cermin mata, ia mungkin berlaku apabila usia mereka semakin meningkat,” katanya.
Suplemen bukan penyelesaian
Dalam pada itu, jelasnya pengambilan suplemen tidak mampu meningkatkan penglihatan jika seseorang tiada sebarang defisiensi.
Paling dibimbangi, pengambilan vitamin tertentu secara berlebihan mungkin akan mendatangkan bahaya.
“Mata merupakan jendela dunia. Ibu bapa hendaklah sentiasa berwaspada terhadap sebarang petanda yang menunjukkan masalah penglihatan atau ketidakselesaan pada anak-anak.
“Segera bawa mereka berjumpa doktor mata jika mengesan keadaan luar biasa pada mata atau penglihatan,” katanya.