Guna kem PLKN pulih penagih dadah

Guna kem PLKN pulih penagih dadah

Sebahagian kem PLKN kini terbiar sejak program itu dihentikan pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan langkah memindahkan penagih dadah berulang ke kawasan baharu bagi mengatasi kesesakan penjara di seluruh negara.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, terdapat 86 fasiliti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang terbiar boleh dijadikan sebagai tempat untuk mereka menghabiskan tempoh menjalani hukuman.

Selepas PLKN dibubarkan pada 2018, terdapat 11 buah fasiliti di Kedah, Pahang (9), Perak (9), Sarawak (8), Selangor (8), Johor (7), Sabah (7), Negeri Sembilan (7), Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis dan Terengganu masing-masing memiliki empat fasiliti, terbiar usang.

Lam Thye berpandangan kesalahan penagihan dadah tidak sepatutnya dihukum penjara sebaliknya diberi bantuan pemulihan yang intensif supaya mereka akhirnya dapat menjalani kehidupan normal bersama masyarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, kesalahan berkaitan dadah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu penyeludup, pengedar dan penagih.

Katanya, kesalahan penagihan sepatutnya tidak dilihat sebagai suatu jenayah sebaliknya perlu diberikan pemulihan supaya tidak kembali terjebak sekali gus dapat kembali hidup secara bermasyarakat.

“Sepatutnya mereka ini diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk dipulihkan, namun kita faham kapasiti Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) juga tidak mencukupi, jadi perlu ada alternatif lain seperti menggunakan kem PLKN yang kini tidak berpenghuni sebagai tempat pemulihan.

“Justeru, satu kajian perlu dilaksanakan untuk meneliti kesesuaian sama ada kem PLKN tersebut boleh diguna pakai bagi menjadi penempatan pemulihan golongan penagih tersebut,” katanya.

Lam Thye mengulas laporan Utusan Malaysia seramai 75,545 banduan berada di penjara di seluruh negara sehingga akhir Ogos lalu dengan kesalahan dadah merangkumi hampir 88 peratus penghuni pusat tahanan jenayah itu.

Banduan paling ramai melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah 1952 dengan 66,061 orang yang mana 43,445 individu telah disabitkan kesalahan manakala 22,616 lagi sedang direman.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, kesesakan di penjara boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial, buli dan sebagainya.

“Jadi perlu ada pendekatan baharu terhadap pelaku kesalahan penagihan dadah supaya mereka mendapat pemulihan yang sepatutnya dan pada masa sama mengurangkan kesesakan di penjara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi pula berpandangan mengurung penagih dadah bukan jawapan yang dicari memandangkan hukuman tersebut tidak akan menyebabkan golongan tersebut pulih daripada ketagihannya.

Pada masa sama, beliau berpandangan AADK perlu bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) di seluruh negara sekira fasilitinya tidak mampu menanggung kapasiti tinggi penagih dadah.

“Kita faham AADK cuma ada 30 Puspen sahaja di seluruh negara dengan kapasiti sekitar 300 penghuni pada satu-satu masa, jadi adakan kerjasama dengan pengusaha PPDP.

“Kalau tidak silap, sebanyak 55 PPDP yang berdaftar dengan AADK manakala yang tidak berdaftar ada sekitar 200 lagi. Mereka masing-masing mempunyai modul pemulihan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Beliau berkata, kelebihan PPDP di negara ini adalah rata-rata pusat pemulihan tersebut dikendalikan oleh bekas penagih dadah yang berjaya meninggalkan tabiat tersebut.

“Pengalaman mereka berjaya meninggalkan tabiat penagihan adalah satu daripada kelebihan yang PPDP ada untuk membantu golongan tersebut pulih sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN