PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengesyorkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan subsidi bersasar bagi pembelian beras putih import sehingga bekalan tempatan pulih.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu antara usaha yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah kekurangan beras tempatan dalam jangka masa yang pendek.
Menurut beliau, walaupun masih terdapat beberapa kawasan yang masih mempunyai stok beras putih tempatan, namun ia habis dijual pada masa yang singkat.
Katanya, kekurangan bekalan beras boleh diatasi sekiranya kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan isu itu selepas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengeluarkan amaran bahawa Malaysia mungkin menghadapi masalah kekurangan beras sejak Jun tahun ini.
“Oleh itu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan subsidi bersasar dalam masa terdekat untuk pembelian beras putih import sehingga bekalan beras putih tempatan pulih seperti sedia kala.
“Subsidi bersasar perlu diberikan kepada golongan B40 dan M40. Kaedah pelaksanaan ini boleh rujuk kepada kaedah kerajaan sebelum ini semasa pandemik Covid-19.
“Kerajaan boleh memberi baucar kepada rakyat melalui wakil rakyat. Dengan itu, kita dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa membeli beras import yang harganya dinaikkan berkali-kali dalam tempoh beberapa bulan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan disyor berbincang dengan peruncit atau pengeluar beras di negeri yang mempunyai stok beras tempatan berlebihan untuk diagihkan ke kawasan lain yang menghadapi kekurangan berkenaan.
Katanya, kaedah itu boleh dilaksanakan dengan kerajaan menanggung kos penghantaran atau logistik penyelarasan bekalan beras tersebut.
“Gerakan juga menyarankan agar kerajaan membuat penangguhan sementara bagi sebarang polisi atau rancangan untuk mengeksport beras putih ke negara lain sehingga kadar sara diri makanan Malaysia mencecah 80 peratus.
“(Ini kerana) kerajaan pada pertengahan tahun telah menyatakan kesanggupan mereka untuk mengeksport beras putih ke negara luar.
“Inisiatif ini (penangguhan eksport) akan memastikan bekalan makanan dalam keadaan stabil dan mencukupi di negara kita,” katanya.
Dominic menambah, Gerakan berharap Kerajaan Anwar memandang serius terhadap isu ini dan mempertimbangkan dengan teliti cadangan tersebut bagi mengatasi masalah kekurangan beras tempatan dalam negara supaya rakyat tidak terbeban lagi.
“Diharapkan isu kekurangan bekalan makanan terutamanya beras ini menjadi agenda utama dalam perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang kerajaan hari ini.
“Kajian yang mendalam harus dilaksanakan supaya masalah tahap keterjaminan makanan negara stabil,” katanya. – UTUSAN