Gangguan seksual secara dalam talian meningkat - Utusan Malaysia

Gangguan seksual secara dalam talian meningkat

AIMAN Athirah (enam dari kanan) bersama penerima notis Akta Gangguan Seksual sempena program Jerayawara Kasih KPWKM di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Gangguan seksual secara dalam talian, terutama kepada golongan wanita semakin meningkat di negara ini seiring kecanggihan teknologi gajet dan kewujudan pelbagai media sosial.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, golongan wanita perlu bertindak dengan membuat laporan mengenai gangguan seksual yang dihadapi kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, antara bentuk gangguan seksual yang berlaku ialah penghantaran mesej dan gambar lucah kepada mangsa.

“Kadang-kadang ada juga komen-komen di media sosial kepada mangsa yang berbentuk gangguan seksual. Mangsa boleh mengambil tindakan. 

“Buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekiranya gangguan itu berlaku secara dalam talian. Dalam masa yang sama, laporkan kepada polis untuk melakukan siasatan lebih terperinci.

“Hasil pelbagai program advokasi yang telah dilakukan, mangsa semakin berani ke depan tampil membuat laporan kerana sedar nasib mereka akan dibela dengan adanya Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840],” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan  Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) @Advokasi Antigangguan Seksual, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian telah mengambil langkah signifikan menerusi penggubalan akta khusus itu untuk membendung kesalahan gangguan seksual agar tidak terus dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Katanya, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 477 kes gangguan seksual dilaporkan pada tahun 2022, dengan 14 kes daripadanya dilaporkan di negeri Terengganu. 

“Walaupun jumlah kes ini dilihat kecil tapi kesannya tidak boleh diambil ringan. Setiap individu tanpa mengira peringkat umur, bangsa dan jantina terdedah kepada risiko gangguan seksual.

“Apa sahaja kelakuan bersifat seksual sama ada secara fizikal, lisan, visual atau isyarat oleh pelaku ke atas mangsa akan memberi impak negatif kepada kesihatan mental, fizikal dan psikososial mangsa.

“Jangan anggap ia sebagai satu jenaka yang tidak berbahaya, sebab itu kita beri penerangan kepada golongan wanita melalui program advokasi ini untuk menghentikan gangguan seksual ini terus berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya