PETALING JAYA: Dua mangsa dilaporkan rentung selepas kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan lori kontena sebelum terbakar di Jalan Kuala Garing, Rawang, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 3.53 pagi.
Katanya, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa
“Kemalangan membabitkan kereta Honda City yang terbakar 70 peratus manakala lori kontena itu juga terbakar sebanyak 50 peratus.
“Mangsa yang maut terdiri daripada dua warga tempatan iaitu lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 23 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tambahnya, pemandu lori berkenaan sempat keluar dari kenderaan.
“Punca kemalangan itu masih dalam siasatan pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN