KAMPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 13,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah bengkel membaiki lori di Jalan Degung di sini semalam.
Serbuan melalui Op Tiris 2.0 pada pukul 6.20 pagi itu berjaya membawa kepada tangkapan dua pemandu lori berusia 25 dan 32 tahun.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu yang dijalankan di premis berkenaan.
Katanya, berdasarkan maklumat, terdapat aktiviti pembelian minyak diesel oleh lori tangki yang disyaki diubah suai tangki asal untuk mengisi bahan bakar itu di stesen-stesen minyak sekitar Kampar.
“Risikan dibuat dengan melakukan penjejakan ke atas lori tangki tersebut sehinggalah pasukan risikan menemui dua buah lori disyaki sedang melakukan aktiviti jual beli minyak diesel melalui pemindahan dari tangki lori di hadapan sebuah bengkel.
“Hasil pemeriksaan ke atas tangki kedua-dua kenderaan itu menemui minyak diesel dianggarkan sebanyak 13,000 liter,” katanya di sini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, pemandu lori gagal mengemukakan sebarang lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel apabila diminta.
Sehubungan itu katanya, cecair yang disyaki minyak diesel disita bersama dua buah lori tangki dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM428,450.
“Modus operandi sindiket ini adalah mengunakan lori tangki yang disyaki telah diubah suai tangki asal dan membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar Kampar sebelum bergerak ke lokasi terpencil dan menjualnya terus kepada lori tangki pembeli.
“Aktiviti jual beli barang kawalan ini dilakukan pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, siasatan kes dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN