Dua lelaki ditahan terlibat serangan bersenjata di Gua Musang

Dua lelaki ditahan terlibat serangan bersenjata di Gua Musang

KEDAI runcit yang merupakan lokasi kejadian rusuhan bersenjata oleh enam lelaki di Bandar Utama di sini, kelmarin.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 20-an bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian serangan bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Utama di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi, Jumaat lalu, sekumpulan enam lelaki yang bersenjatakan parang, batang besi dan kayu panjang menyerang pengadu yang merupakan pekerja kedai runcit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian dipercayai berlaku setelah dua suspek mencuri satu karton air minuman berjenama Coca-Cola dari kedai runcit tersebut.

Menurutnya, susulan itu, pekerja kedai runcit yang merupakan warga Pakistan memarahi suspek dan berlaku perselisihan faham.

“Akibat tidak berpuas hati, seramai enam orang rakan suspek datang menyerang mangsa dengan bersenjatakan parang, batang besi dan kayu panjang sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

“Selain itu, suspek juga merosakkan barangan kedai runcit,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Choon Foo memberitahu, bertindak atas maklumat, pada pukul 4.30 petang hari yang sama anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang telah membuat tangkapan ke atas dua suspek utama.

Katanya, senjata yang digunakan semasa kejadian iaitu sebilah golok, sebatang cota kayu dan satu unit buku lima turut dirampas.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Benzo dan Methamphetamine. Siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 379 dan 148 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kerana kita masih lagi mengesan saki baki suspek yang masih bebas dan dipercayai terlibat dalam kes ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN