KOTA KINABALU: Dua beradik berusia lima dan enam tahun yang ditinggalkan sendirian di sebuah ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan enam rumah di Kampung Pulutan, Menggatal dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 1 petang, kedua-dua beradik malang iaitu Jackron Jabri, 6, dan Jayraiyen Jabri, 5, ditemukan rentung di ruang tamu rumah mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan sendirian di rumah kerana ibunya keluar bekerja manakala bapa mereka menghantar anak saudaranya ke hospital.
“Difahamkan adik-beradik lain dua mangsa pergi ke sekolah. Salah seorang mangsa yang berusia enam tahun dikatakan baru pulang dari prasekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.13 petang sebelum dua pasukan daripada BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati enam buah rumah terbakar sebelum pemeriksaan menemui dua beradik rentung di sebuah rumah yang terbakar.
Api dapat dikawal pada pukul 2.53 petang dan tamat sepenuhnya pada pukul 5.25 petang.
Kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai terperangkap dan tidak sempat menyelamatkan diri semasa kebakaran berlaku.
Agustavia berkata, punca kejadian masih dalam siasatan. –UTUSAN










