PETALING JAYA: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung konsep dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bercanggah dengan Islam didakwa sebagai tidak tepat.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, konsep DNAA adalah sebahagian proses keadilan Islam dalam membicarakan tertuduh.
“Kerana kaedah umum keadilan Islam ialah ‘Bara’ah al-Asl’ iaitu seseorang itu bebas daripada sebarang tuduhan dan seseorang tidak bersalah sehinggakan dibuktikan sebaliknya.
“Melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya untuk pihak pendakwaan diberi peluang membuat siasatan lanjut dan terperinci adalah sebahagian proses keadilan untuk tertuduh yang belum lagi bersalah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tidak ada keputusan DNAA dalam sistem kehakiman Islam.
“Dalam Islam tak ada dilepaskan tanpa dibebaskan. Mesti dikenakan hukuman,” katanya.
Mohd. Khairuddin berkata, sikap menghukum tertuduh dengan pelbagai persepsi jahat menerusi media adalah bercanggah dengan Islam dan wajar dihentikan.
“Ia mencederakan maruah tertuduh yang sepatutnya terpelihara selagi belum dibuktikan bersalah. Keadilan Islam perlu ditegakkan pada tertuduh dalam apa kes sekalipun,” katanya. – UTUSAN