PETALING JAYA: Para pemimpin Perikatan Nasional (PN) masih tidak berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat mengenai kes mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bagi pembangkang, mereka pembangkang akan terus membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, penerangan Anwar bukan lagi rahsia dan rakyat sudah maklum 11 alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengapa Timbalan Perdana Menteri wajar dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.
“Namun, ia tidak menolak keputusan sebelum ini bahawa prima facie telah pun berjaya dibuktikan. Sepatutnya, kes beliau mesti terus berjalan dan biar hakim yang putuskan. Rakyat boleh menilai tentang tindakan yang dibuat.
“Tetapi saya yakin, penarikan kesemua kes ini tidak seharusnya berlaku. Ini memang di luar kebiasaan. Tetapi, saya akur dengan kuasa dimiliki Peguam Negara berdasarkan pertimbangan terperinci dan bukan atas alasan ada campur tangan pihak tertentu,” kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu ketika dihubungi semalam.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, individu yang wajar memberi penjelasan di Dewan Rakyat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Memang pembangkang tidak puas hati. Kenapa Perdana Menteri yang jelaskan? Sepatutnya menteri undang-undang. Walau apa pun penjelasan semalam, Anwar tetap berbohong,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula berkata, Perdana Menteri gagal menjelaskan dengan baik di Dewan Rakyat, sebaliknya terlalu beremosi malah melibatkan PN dengan tuduhan tidak munasabah.
“Saya sebenarnya pelik kenapa Anwar yang menjelaskan perkara ini. Katanya tidak masuk campur, tetapi, berusaha untuk membersih dan mempertahankan Ahmad Zahid. Jika benar tidak masuk campur, lebih baik Peguam Negara menjelaskannya. Ini lebih munasabah.
“Beliau terlalu emosi dan lebih banyak memalit PN dengan tuduhan liar. Apabila jelas beliau tersilap cakap, beliau menjadi terlalu bongkak dan tidak mahu menarik balik ayat yang tersilap itu.
“Isu DNAA ini belum selesai dan penentu akhir ialah rakyat. Sehingga hari ini rakyat masih sangsi dengan alasan-alasan Anwar,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata: “Penjelasan ini tidak cukup dan sangat pelik.”
Dalam sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat kelmarin, Anwar menafikan berbincang dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung keputusan DNAA Ahmad Zahid berkaitan 47 pendakwaan jenayah ke atasnya.
Sebaliknya, beliau meminta penjelasan berhubung perkara itu dan jika boleh memohon Idrus menangguhkan keputusan tersebut.
Jelasnya, beliau tidak campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan mengetahui Peguam Negara ada budi bicara pendakwaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sesi Perdana Menteri menjawab DNAA kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara pembangkang dan kerajaan. Kemuncak kekecohan tersebut apabila Anwar mengeluarkan tuduhan terhadap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin sehingga mengundang kemarahannya.
Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – UTUSAN










