SUNGAI PETANI: Lelaki warga emas ditemukan lemas bersama cucu lelakinya di sebuah kolam terbiar di Taman Kempas, di sini, petang semalam.
Mayat mangsa berumur 78 tahun dan cucunya berusia 19 bulan ditemukan seorang pekerja restoran berhampiran pada pukul 7.20 malam sebelum menghubungi talian MERS 999.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya ke lokasi dan mengeluarkan kedua-dua mangsa daripada kolam sedalam satu meter itu.
“Temubual dengan bapa bayi itu mendapati, setiap petang lelaki warga emas itu akan membawa cucunya berjalan-jalan selepas diambil daripada ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di Taman Kempas.
“Tetapi sehingga pukul 7 malam tadi, mereka berdua tidak pulang menyebabkan bapa bayi terbabit risau dan keluar mencari tetapi terkejut apabila mendapati bapa dan anak lelakinya ditemui terapung di dalam kolam itu,” katanya.
Kata Zaidy, pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa dan lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN









