BENTONG: Barisan Nasional (BN) masih belum berbincang berhubung nama calon sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dalam masa terdekat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan membuat keputusan selepas penelitian dilakukan terhadap calon yang bakal diketengahkan dalam pilihan raya itu.
Beliau mengakui BN berada dalam kedudukan ‘underdog’ untuk merampas kedudukan kerusi itu daripada Pas, namun, tidak menolak kemungkinan itu berlaku jika parti bekerja keras.
“Dalam politik semua kemungkinan akan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFuture Jobs bersama Hawa Malaysia di Dataran Ilmu Felda Chemomoi di sini hari ini.
Pada minggu lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Menurut Ahmad selaku calon BN Kemaman, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya yakin dengan kepemimpinan UMNO Terengganu dan Kemaman untuk merampas kerusi itu meskipun BN kalah kerusi Kemaman dengan majoriti agak besar.
“Kita tahu bahawa calon kita mendapat 37,000 undi dan calon sana dapat 65,000 undi, ia satu majoriti besar.
“Walaupun kita dalam keadaan ‘underdog’, kita yakin pengundi dapat buat pilihan tepat dan kembali menyokong BN,” katanya. -UTUSAN