KLUANG: Belum siap disusun di atas rak jualan, beras putih tempatan (bpt) bernilai RM26 untuk 10 kilogram sudah habis terjual kerana hanya 30 kampit (300 kilogram) yang dihantar ke Pasaraya Econsave di sini.
Pengurusnya, Kasturi Bhai berkata, penghantaran yang dilakukan seminggu sekali itu hanya bertahan beberapa jam sebelum habis dibeli orang ramai.
Katanya, walaupun pihaknya hanya membenarkan setiap pelanggan membeli dua kampit (20 kilogram) namun tetap tidak mencukupi kerana menerima bekalan yang amat sedikit berbanding sebelumnya.
“Hanya dua syarikat beras yang menghantar bekalan antara 30 hingga 50 kampit setiap minggu dan jumlah itu tidak mampu menampung keperluan orang ramai di bandar Kluang.
“Saya difahamkan beberapa pasar raya lain di Kluang turut berdepan masalah sama dan mereka yang bernasib baik berpeluang mendapatkan bekalan beras tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Kasturi, pihaknya berharap orang ramai memahami situasi itu dan Econsave akan terus berusaha meningkatkan jumlah bekalan beras tempatan.
Seorang pelanggan, Herman Aziz, 45, berkata, orang ramai amat mengharapkan krisis bekalan beras diatasi segera kerana ia keperluan penting bagi rakyat.
Katanya, jika pasar raya besar hanya menerima antara 30 hingga 50 kampit untuk jualan seminggu, bagaimana pula kedai-kedai runcit di kampung atau pedalaman. – UTUSAN