BALING: Baru sahaja tiga hari berpindah dari Lumut, Perak ke rumah arwah ibunya di Kampung Iboi, di sini, seorang wanita berdepan nasib kurang baik apabila kesemua barangan dan perabot yang dibawanya musnah ditenggelami banjir.
Tilka Mat Udin, 49, berkata, bukan sahaja barangan rumah miliknya tetapi perabot peninggalan arwah ibu turut rosak apabila air memasuki rumah mereka sehingga mencecah paras pinggang.
“Melihat barangan rumah yang rosak, saya sedih sangat, sebak dan rasa hendak menangis tambahan pula lihat keadaan rumah arwah ibu yang banyak kenangannya tetapi apakan daya saya reda dengan apa yang berlaku.
“Saya baru sahaja berpindah ke sini pada Ahad lalu bersama anak, Mohamad Shahmi Amir Mohd. Shafiq, 13, dan tidak sangka rumah kami pun akan turut dilanda banjir meskipun terletak di kawasan yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui semalam.
Menceritakan semula kejadian petang kelmarin, Tilka berkata, dia pada mulanya terfikir untuk mengemas barangan di dalam rumah itu terlebih dahulu setelah melihat air mula memenuhi rumah.
Namun katanya, demi keselamatan dia bersama anak memilih untuk menyelamatkan diri terlebih dahulu dengan berlari keluar mengikut pintu belakang dan memanjat tebing rumah jiran kerana kesuntukan masa.
“Masa air penuh dalam rumah, saya dan anak tunggu tepi jalan, nak melintas tak boleh sebab air dari arah bukit laju turun dan banyak, kami tunggu sehingga orang kampung datang dan bawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi,” katanya. – UTUSAN