Asyik-asyik ulang benda sama"

“Asyik-asyik ulang benda sama”

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Abdul Rahman enggan menjelaskan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Muar yang dibangkitkan sesetengah pihak ekoran keputusannya menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Bercakap kepada Utusan Online , Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, beliau tidak mahu lagi mengulas perkara sama dengan apa yang dikata sebagai melanggar undang-undang lompat parti kerana tidak lagi menyokong kerajaan semasa. 

Katanya, beliau tidak takut diambil tindakan undang-undang kerana berpendirian melawan rasuah. 

Syed Saddiq: Saya sudah jawab isu ini banyak kalilah. Tidak payah dijawab lagi. Setiap hari mahu ulang benda sama pasal akta lompat parti. Tidak payahlah. Kalau mereka (pihak luar) mahu cakap, cakaplah. Saya tidak mahu ulas. 

Wartawan: YB (Yang Berhormat) ada merujuk kepada peguam? 

Syed Saddiq: Saya tidak akan menjawab soalan anda. Sebab benda ini berulang-ulang dan jawab benda sama. Kalau mereka mahu buat apa-apa juga, saya tidak boleh jawab hal ini untuk mereka. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini baru-baru ini. Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kedudukan Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen Muar menjadi persoalan ekoran keputusannya menarik sokongan terhadap kerajaan. 

Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai gabungan parti kerajaan pada Disember 2022 menyebut, setiap parti dan pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan, keengganan atau kecuaian berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti itu yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan kerusinya dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Parti ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil.

MUDA adalah antara 14 parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan menyaksikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kedudukan Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen masih kekal kerana beliau hanya menarik sokongan kepada kerajaan. 

Katanya, kekosongan hanya berlaku jika Syed Saddiq keluar daripada MUDA dan menyertai Perikatan Nasional (PN) atau parti lain. 

Selain itu, katanya, tindakan beliau hanya memberi implikasi jika kerajaan mahu meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN