Anggota tentera, isteri maut motosikal berkuasa tinggi langgar belakang jip ATM

Anggota tentera, isteri maut motosikal berkuasa tinggi langgar belakang jip ATM

ANGGOTA bomba memadam kebakaran motosikal dinaiki sepasang suami isteri yang maut kemalangan di Kilometer 87, PLUS arah selatan di Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang mereka naiki melanggar belakang sebuah jip milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kilometer 87, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan petang ini.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, mangsa, Muhammad Ridzwan Salleh, 42, maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Rosmawati Ismail, 39, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), sebentar tadi.

Muhammad Ridzwan yang merupakan anggota tentera berpangkat koperal dan bertugas di Kem Hobart, Jeniang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli.

Ketika kejadian, pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Permai, Jeniang ke HSAH untuk menziarahi ibu Rosmawati yang sedang menerima rawatan kerana sakit tua.

Kedua-dua mangsa dipercayai terpelanting ke dalam jip terbabit yang dinaiki dua anggota tentera menghala ke arah Butterworth, Pulau Pinang. Motosikal dinaiki mereka turut terbakar dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, motosikal terbabit dipercayai ditunggang laju sebelum merempuh belakang kenderaan ATM.

“Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan motosikal pasangan itu terbakar di tengah laluan. Mayat kini berada di Unit Forensik HSAH untuk proses selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pasangan berkenaan meninggalkan tiga anak lelaki dan seorang perempuan yang berusia antara 17 hingga lima tahun. 

Anak sulung mereka, Amirul Ikhwan, 17, berkata, dia menerima perkhabaran duka itu melalui WhatsApp semasa berada di sekolahnya kira-kira pukul 3 petang ini.

“Ketika itu saya sedang mengikuti aktiviti kokurikulum dan terkejut apabila mendapat berita sedih terbabit. Ayah dan ibu pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata dan saya seperti hilang akal apabila memikirkan keadaan itu.

“Bagaimana saya dan adik-adik, Irfan, 15, Nurin Alia,12, serta, Rizdanial, 5, mahu meneruskan hidup selepas ini?” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 5, Jeniang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN