Anak lelaki Zainal Abidin mengaku tidak bersalah pukul bekas isteri

Anak lelaki Zainal Abidin mengaku tidak bersalah pukul bekas isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG:  Anak sulung bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan, Mohd Zaiza, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memukul bekas isterinya sekitar Februari lalu.

Tertuduh yang juga bekas pemain bola sepak PKNS itu didakwa melakukan kesalahan itu terhadap isterinya yang sah ketika itu, Suzursofia Smeth Jaya, 32, di TO01-14-04, Skypark Residence, Jalan Teknokrat 1, Cyberjaya pada malam 25 Februari lalu.

Sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.

Muhammad Bukhori kemudian menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, malah, tertuduh juga ditegah untuk mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.

Sementara itu, Muhammad Bukhori juga menetapkan 26 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi lain.

Sejurus selepas itu, peguam Mohd Zaiza, Johan Arif Salim Khan memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan anak guamnya kini tidak mempunyai kerja tetap.

Menurut Johan Arif, anak guamnya juga memperoleh gaji sekitar RM2,500 hingga RM2,700 dengan bekerja sebagai pemandu peribadi, malah, turut menanggung dua anak yang masih kecil iaitu berusia enam dan dua tahun.

“Tertuduh juga bercerai dengan mangsa pada Jun lalu,” katanya ketika di mahkamah hari ini.

Mohd Zaiza dan Suzursofia sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Klang, Selangor pada 14 Jun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Zaynedine Sulaiman, 6, dan Seri Zayana, 2. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya