Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak dibentang Oktober ini

Akta Suruhanjaya Kanak-Kanak dibentang Oktober ini

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentangkan satu akta khusus untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak pada Oktober ini sebagai usaha melindungi dan menyelesaikan isu-isu berkaitan golongan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas berkaitan Suruhanjaya Kanak-Kanak akan dibawa ke jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Kata beliau, pihaknya mahu suruhanjaya tersebut yang ketika ini berada di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk berdiri sendiri sebagai sebuah badan dengan mempunyai aktanya tersendiri.

“(Suruhanjaya Kanak-Kanak) bukan pengendali (atau) agensi tetapi ia badan pemantau dalam segala aspek isu kanak-kanak. Undang-undang merangkumi isu kanak-kanak ini melebihi pendidikan (iaitu seperti) isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan.

“Banyak kementerian ada menyentuh isu kanak-kanak, jadi, apa yang kita memerlukan (Suruhanjaya Kanak-Kanak) untuk menilai semula dasar-dasar kerajaan apabila mengendalikan isu berkaitan kanak-kanak.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memang khusus kepada isu kanak-kanak dalam hal ehwal keluarga dan kebajikan tetapi suruhanjaya tersebut melebihi peranan tersebut.

“Contohnya dalam segi kempen kesedaran dalam isu ini, kami mendapat pembentangan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), apa pun nak cakap adalah isunya ialah memberikan kesedaran. Ini perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Kanak-Kanak dan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai contoh, takkan KPWKM nak kendalikan program kesedaran,” katanya semasa sidang media selepas melakukan lawatan di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bukit Aman.

Antara usaha lain yang bakal dilakukan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) untuk memastikan sistem keadilan jenayah negara kekal mengutamakan kanak-kanak adalah mengemas kini Garis Panduan Khas untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 dan menerbitkan versi baharu pada Januari 2024.

Selain itu, menggubal dan mewartakan peraturan-peraturan bagi Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2017 (Akta 676) serta memperbanyakkan latihan khusus bagi semua pihak berkepentingan dalam keadilan jenayah.

Malah, BHEUU JPM juga akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) untuk menggubal peraturan atau kod industri mandatori untuk menyekat bahan penderaan kanak-kanak dalam talian.

Azalina berkata, Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan teratur serta cermat demi kebaikan rakyat, tidak akan melakukan sesuatu perkara dengan kelam-kabut.

“Kalau kami kelam-kabut, macam mana nak buat perubahan kepada negara kita untuk kesejahteraan rakyat. Jadi kita buat undang-undang, saya turun tengok mahkamah dan polis, selepas itu saya wujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak (lalu) bincang dengan Kabinet. Kemudian bawa ke Parlimen.

“Inilah kerajaan Madani, kami ni tidak kelam-kabut yang lain ya. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jadi satu-satu,” ujarnya

Turut hadir sama adalah Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr. Farah Nini Dusuki berkata, terdapat keperluan untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak menjadi bebas bagi menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

“Sekarang, apabila ada di bawah Suhakam untuk Malaysia, kuasa agak terhad. Kita tidak mempunyai modus operandi yang berbeza dan sebagainya.

“Jadi, perlu ada satu akta khusus untuk menjalankan kerja-kerja pemantauan bagi hal berkaitan kanak-kanak sebab kita tidak boleh mengharapkan satu agensi menjaga kanak-kanak seluruh Malaysia (yang jumlahnya) 9.19 juta. Perlu ada satu badan pemantau yang bebas,” katanya.-UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN