Ahmad Zahid: Lepas tanpa dibebas

Ahmad Zahid: Lepas tanpa dibebas

Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan selepas dilepas tanpa bebas daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas 77 hari dibicarakan, Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Ha­midi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Pe­guam Negara (AGC) agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertu­duhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berpuas hati bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memberhentikan pendakwaan walaupun sebelum keputusan diumumkan.

Bagaimanapun beliau menyatakan, andai pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid pada masa akan datang, masa berharga mahkamah dan wang pembayar cukai telah terbazir begitu sahaja.

“Mahkamah merekodkan bahawa perbicaraan yang bermula pada 18 November 2019 telah me­lalui tempoh 77 hari perbicaraan dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan,” ujar beliau ketika mengumumkan keputusannya.

Hakim Collin turut berpendapat, pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang kukuh iaitu untuk mengkaji keterangan saksi-saksi selain bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap bukti baharu yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid.

Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar sebelum itu menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dikenakan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan.

Alasan itu antaranya menyentuh pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan berkaitan pertuduhan terhadap individu-individu tertentu.

Pada hemat Hakim Collin, meskipun penubuhan RCI diumumkan oleh Jemaah Menteri itu tiada batas waktu, ia tidak mencadangkan bahawa kes itu mencapai penyudahnya.

Dalam keputusannya, mahkamah turut menolak permohonan pasukan pembelaan agar Presiden UMNO itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menyerahkan kepada rakyat terutamanya pengundi di tiga pilihan raya kecil untuk membuat penilaian sendiri terhadap keputusan DNAA Ahmad Zahid.

“Rakyat sudah boleh buat membuat penilaian sendiri, mereka sudah cerdik. Ia berbeza dengan keputusan (Pengerusi PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana mahkamah membuat keputusan, tetapi ini (kes Ahmad Zahid) mahkamah buat keputusan hasil tindakan pendakwa raya untuk tarik prosiding.

“Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri yang lepas tanpa bebas dan tahniah kepada pihak pendakwa raya yang buat keputusan untuk hentikan prosiding terhadap beliau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.58 pagi bersama beberapa ahli keluarga dan disambut oleh penyokongnya yang membanjiri pekarangan mahkamah.

Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang mana beliau adalah pengasasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa atas 12 pertuduhan pecah amanah iaitu menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan didakwa dilakukan di Affin Bank cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini di antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 26 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang di sini antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN