Agong, Permaisuri zahir sukacita sempurna impian dekati rakyat

Agong, Permaisuri zahir sukacita sempurna impian dekati rakyat Sabah dan Sarawak

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah projek Masjid Al-Sultan Abdullah di Telok Melano, Sematan, Sarawak sempena program Kembara Kenali Borneo, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan syukur kerana dapat menyempurnakan impian mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembali Kenali Borneo.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Sabah dan Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program tersebut.

Kata beliau, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah dan Sarawak atas sambutan yang sangat hebat diberikan kepada baginda berdua serta sekeluarga sepanjang pengembaraan tersebut.

“Seri Paduka Baginda berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.

“Sesungguhnya, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan landskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Seri Paduka Baginda berdua dan sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program Kembara Kenali Borneo itu juga memberi peluang untuk pasangan diraja itu mengeratkan lagi silaturrahim antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baginda berdua menjayakan program tersebut pada 3 September lalu dengan bermula di Tawau, Sabah dan berakhir semalam di Telok Melano, Sematan, Sarawak.

Perjalanan tersebut mengambil jarak sejauh 2,154 kilometer (KM) menelusuri Lebuhraya Pan Borneo.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN