Agong, Permaisuri disambut pelbagai suku kaum di Kampung

Agong, Permaisuri disambut pelbagai suku kaum di Kampung Penan Muslim, Bintulu

KEBERANGKATAN tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah di Kampung Penan Muslim, Batu 10 di Bintulu, Sarawak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meneruskan rombongan ke bahagian Bintulu, selepas berkenan mengunjungi Miri. 

Rombongan jelajah Kembara Kenali Borneo itu tiba di Pitstop 1 di sini iaitu Kampung Penan Muslim, Batu 10, di sini, semalam. 

Penduduk pelbagai lapisan masyarakat turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak di sepanjang laluan menuju ke majlis yang diadakan di pekarangan Masjid Darul Falah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua turut disambut dengan tarian etnik Penan, Orang Ulu dan Melanau.

Pada majlis sama, Seri Paduka Baginda berkenan menandatangani plak Kembara Kenali Borneo dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf.

Seri Paduka Baginda juga menunaikan solat Maghrib di Masjid Darul Falah.

Seterusnya, pasangan diraja itu turut berkenan menelusuri Jejambat Nyabau atau Nyabau Interchange sepanjang 1.23 kilometer (km), malam tadi dan disambut oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir. Ts Richard Tajan. 

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menandatangani momento untuk pihak JKR Sarawak sebelum Seri Paduka Baginda berdua berkenan bergambar bersama Ir Richard serta pegawai-pegawai kanan JKR Sarawak di mercu tanda berkenaan.  

Seri Paduka Baginda berdua meneruskan rombongan dengan menghadiri santapan malam di kediaman Tuan Yang Terutama (TYT) Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Hari ini, Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan dengan  mengadakan perjalanan dan persinggahan ke Masjid Darul Ibadah, Tatau dan seterusnya ke persinggahan di bahagian Sibu, Sri Aman serta Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada Rabu ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya