701 saudara baharu Islam terima bantuan dari FGV dan MCM

701 saudara baharu Islam terima bantuan dari FGV dan MCM

NAZRUL Mansor (tengah) menghulurkan sumbangan kepada sebahagian saudara baharu Islam di di sekitar Nabawan dan Kundasang, Sabah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 701 saudara baru Islam dari 11 buah kampung di sekitar Nabawan dan Kundasang menerima sumbangan daripada Felda Global Ventures (FGV) bernilai RM840,700 semalam.

Program FGV Seikhlas Hati itu disampaikan dalam bentuk wang tunai,  pek barangan makanan keluaran FGV seperti beras, gula dan minyak masak. 

Program yang dilaksanakan bersama Muslim Care Malaysia (MCM) turut memberi sumbangan dalam bentuk peruntukan pembinaan masjid, sebuah rumah asnaf dan kit kelengkapan solat bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, mereka berterima kasih kepada MCM dan Majlis Ugama Islam Sabah atas kerjasama yang sangat baik dalam mengenal pasti dan menyalurkan sebahagian wang zakat wakalah perniagaan FGV kepada golongan memerlukan.

“Usaha-usaha kami dalam program ini mencerminkan komitmen FGV untuk membantu komuniti-komuniti yang memerlukan di seluruh pelusuk negara terutamanya di sekitar kawasan operasi perniagaan FGV,” katanya.

Menurut Nazrul lagi, FGV turut melunaskan kewajiban zakat perniagaan di semua negeri-negeri di bawah pengoperasiannya termasuk Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan RM35.3 juta bagi pengagihan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV yang akan ditunaikan pada tahun ini.

Pada majlis itu, Nazrul turut menyerahkan cek replika sumbangan zakat perniagaan FGV sebanyak RM6.3 juta bagi negeri Sabah kepada Datuk Ustaz Bungsu yang menerima bagi pihak Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Pada masa sama, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, Nabawan dipilih sebagai lokasi program kerana daerah ini adalah pusat penempatan semula saudara baharu yang memeluk Islam sejak awal tahun 1970-an.

“Kesemua 701 keluarga yang menerima sumbangan pada hari ini adalah saudara baharu yang memeluk Islam antara tempoh sebulan sehingga lima tahun lalu,” katanya

Mereka juga turut berterima kasih kepada pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu membawa barangan bantuan sebanyak 12 tan metrik menggunakan pesawat pengangkut A400M secara percuma dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Sebelum ini, MCM dan FGV pernah bekerjasama  dalam program Bantuan Mangsa Banjir di Pantai Timur pada tahun 2022 serta sumbangan komputer riba untuk penuntut universiti pada awal tahun 2023. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN