PETALING JAYA: Cubaan 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan berjaya dilumpuhkan Jabatan Imgresen Malaysia (Imigresen) apabila ditahan dalam Operasi Khas pada 30 Ogos lalu.
Kesemua mereka ditahan kira-kira 4.30 petang di Terminal Bas Bersepadu (TBS) di ibu negara oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan mendapati kesemua warga asing itu menaiki bas daripada Stesen Bas Ekpress Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan.
Susulan itu, kata beliau, pihaknya berjaya mengesan tiga buah bas ekspres yang berasingan membawa PATI di Lebuh Raya Pantai Timur dan mengekori hingga ke TBS.
“Kesemua tangkapan melibatkan 32 lelaki dan empat wanita yang terdiri daripada 20 warga Bangladesh dan 16 warga Myanmar berusia antara 19 hingga 45 tahun.
“Hasil semakan lanjut ke atas pasport mereka yang ditahan mendapati tiada cap keselamatan yang masih sah di dalam pasport mereka dan terdapat juga PATI yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah, malah, terdapat antara mereka memiliki rekod senarai hitam berdasarkan rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ruslin, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk PATI ke Malaysia daripada negara asal mereka melalui negara jiran sebelum diseludup masuk melalui laluan haram.
Jelas beliau, PATI berkenaan akan dibawa ke Pulau Pinang dan Kuala Lumpur untuk bekerja secara tidak sah dengan menggunakan pengangkutan awam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bayaran yang dikenakan bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini oleh pihak sindiket sebanyak RM10,000.
“Kesemua PATI ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” katanya.-UTUSAN