KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan seramai 34 warga asing di sebuah kelab malam di Jalan Pudu Ulu. di sini malam tadi.
Menerusi serbuan kira-kira pukul 11.10 malam itu, seramai 38 orang telah diperiksa.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohsin berkata, serbuan itu adalah kali kedua dilakukan di premis sama dan antara kesalahan yang dikenal pasti tiada pengenalan diri, salah guna pas serta tinggal lebih masa.
“Tangkapan terdiri daripada 15 lelaki dan 19 wanita membabitkan 14 warga Bangladesh, Myanmar (seorang), Thailand (18), Laos (seorang).
“Ada juga warganegara Malaysia cuma mereka hanya dikeluarkan saman sebagai saksi dan kena hadir ke pejabat JIM untuk memberi keterangan,” katanya di sini hari ini.
Syamsul berkata, operasi melibatkan kekuatan seramai 40 anggota JIM Kuala Lumpur itu selepas melakukan risikan selama 14 hari susulan menerima aduan orang awam tentang kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokasi berkenaan.
Jelas beliau, ketika serbuan dilakukan ada antara tahanan yang cuba meloloskan diri atau menyorok dan pemeriksaan mendapati kelab tersebut turut menyediakan tempat-tempat persembunyian.
Mengulas lanjut Syamsul berkata, tahanan lelaki majoriti bekerja sebagai pelayan tender manakala wanita sebagai pelayan pelanggan (GRO) atau membuat persembahan di premis berkenaan.
“Kita juga jumpa selempang yang dipercayai biasa digunakan untuk menetapkan bayaran kepada GRO-GRO tersebut, memang kita jumpa banyak.
“Cuma ketika serbuan kita tak dapat (tangkap) yang sedang pakai sebab kita datang awal dan mungkin aktiviti tu belum dimulakan,” jelasnya.
Mereka yang ditahan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tiada dokumen pengenalan diri. – UTUSAN