30,893 pelajar baharu IPTA terima WPP 

30,893 pelajar baharu IPTA terima WPP 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30,893 pelajar baharu bagi kemasukan peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sesi Oktober ini ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM46.34 juta.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pelajar yang berkelayakan bakal menerima pinjaman pendahuluan sebanyak RM1,500 setiap seorang.

“Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP  di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar.

“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 19 September 2023 hingga 18 November 2023,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, inisiatif WPP adalah salah satu usaha menjayakan agenda pendidikan negara dan untuk memastikan semua pelajar di negara ini mampu melangkah masuk ke IPT tanpa sebarang masalah kewangan. 

“Pemberian WPP adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak ke IPT yang semuanya memerlukan sumber kewangan yang tinggi. 

“Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” ujarnya. 

Dalam pada itu, kata beliau, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA.

Justeru itu, jelasnya, mahasiswa  yang ingin membuat permohonan pinjaman tersebut perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

Sekiranya pelajar mempunyai sebarang persoalan, mereka boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN .

Selain itu, maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN  boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.

Beliau juga menyarankan agar mahasiswa  menggunakan aplikasi myPTPTN  bagi  boleh mendapatkan maklumat yang lebih cepat, mudah dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya