1MDB selepas 275 hari: Apakah pendakwaan tutup kes tahun ini?

1MDB selepas 275 hari: Apakah pendakwaan tutup kes tahun ini?

NAJIB Tun Razak ketika pertama kali hadir pada perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pada 28 Ogos lalu, genap tiga tahun kes penyelewengan dana RM2.28 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Perbicaraan yang bermula pada 28 Ogos 2019 masih lagi di peringkat pendakwaan yang mana pada ketika ini, saksi pendakwaan ke-47 sedang memberi keterangan. Pada 30 Ogos lalu, perbicaraan memasuki hari ke-275.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada perbicaraan peringkat pendakwaan itu boleh ditutup pada tahun ini kerana semuanya bergantung kepada sesi soal jawab dan hal-hal berbangkit lain seperti masalah kesihatan pihak-pihak terlibat.

Sebelum ini, saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi adalah saksi paling lama memberi keterangan (pernyataan saksinya adalah setebal 270 muka surat) iaitu selama 43 hari.

Saksi itu mula memberi keterangan pada 23 September 2019 sebelum dibebaskan daripada kandang saksi pada 3 September 2020.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Beberapa hari lalu, media melaporkan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu hakim Mahkamah Rayuan (yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi), Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil kira-kira empat orang lagi saksi.

Saksi-saksi yang bakal dipanggil ialah Penganalisis Bank Negara Malaysia, Adam Ariff Mohd. Roslan (sedang memberi keterangan), pegawai penyiasat bagi pertuduhan pengubahawan wang haram dan pegawai penyiasat kes, Superintenden Kanan, Nur Aida Arifin.

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang kini masih dalam siasatan oleh polis belum dapat dipastikan sama ada akan dipanggil sebagai saksi atau tidak dalam perbicaraan tersebut.

“(Mungkin) dua atau tiga sebelum Nur Aida (dipanggil sebagai saksi),” kata Ahmad Akram dalam laporan tersebut.

JHO LOW

Jasmine didakwa rakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan berdasarkan laporan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) wanita terbabit turut dinamakan sebagai ‘1MDB Officer 3′.

Laporan DoJ itu antara lain menyatakan Jasmine merupakan pengantara (liaison) 1MDB ke Goldman Sachs Group Inc, bank antarabangsa yang membantu 1MDB memungut AS$6 bilion AS$6 bilion (RM24.33 bilion) yang mana sebahagian besar wang berkenaan kemudian dipindahkan kepada beberapa entiti lain.

Berdasarkan keterangan saksi-saksi sebelum ini, dia merupakan individu yang menyediakan segala dokumentasi termasuk dokumen bon AS$1.75 bilion yang merupakan sebahagian daripada pembiayaan yang diperolehi 1MDB untuk mendapatkan pengeluar tenaga bebas (IPP), iaitu Tanjong Energy Holdings Bhd. dan Genting Sanyen Power Sdn. Bhd.

Kelmarin (30 Ogos), perbicaraan menjadi agak teknikal apabila Adam Ariff mula menjelaskan mengenai jejak aliran wang yang kesemuanya berakhir di dalam dua akaun peribadi Najib.

Adam Ariff yang juga sebahagian daripada pasukan petugas menyiasat penyelewengan dana 1MDB ditugaskan untuk menjejak semua dana yang dikumpulkan oleh syarikat terbabit dan mengenal pasti rantaian wang yang diterima oleh Najib berdasarkan penyata dan rekod bank.

Menurut keterangan Adam Ariff, akaun 9694 telah menerima RM2,151,196,762.71 di antara 23 Februari 2011 dan 10 April 2012 yang mana pengkreditan pertama berlaku selepas 42 hari akaun tersebut dibuka.

Menurut kenyataan pengurus cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi yang merupakan saksi pendakwaan ke-37 pada prosiding terdahulu, wanita itu menyatakan akaun 9694 teoah ditutup pada 26 Ogos 2013.

Bagi akaun berakhir 1880, sebanyak RM49,930,985.70 telah dimasukkan ke dalam akuan terbabit di antara 23 Jun 2014 dan 19 Disember 2014. Akuan tersebut ditutup hampur tiga bulan selepas transaksi terakhir berlaku.

Secara keseluruhannya, dua akaun Najib itu telah menerima RM2.28 bilion di antara 2011 hingga 2014 melalui empat fasa.

Jelas Adam Ariff, hasil analisis yang dijalan, beliau mendapati wang-wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah berasal antaranya daripada bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), bon terbitan 1MDB Energy (Langat) dan pinjaman AS$1.225 bilion oleh Energy Holdings Limited pada 2014.

Keterangan Adam Ariff akan bersambung pada 18 September ini yang mana saksi itu akan menjelaskan dengan lebih terperinci jejak aliran tersebut bagi setiap fasa.

INFO

Fasa Pengkreditan RM2.28 bilion ke dalam akaun Najib dan sumber asal

* Fasa Good Star
– Antara 23 Februari dan 14 Jun 2011, RM60,629,839.43 telah dikreditkan ke dalam akaun Najib Razak di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada akaun di Bank Riyad, Arab Saudi.

– Dikesan berasal daripada penerbitan bon pinjaman Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion oleh Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) (sebelum diambil alih oleh Kerajaan Pusat dan dinamakan semula sebagai 1MDB) pada 2009 dan Pinjaman Bertempoh Bersindiket berjumlah RM2.5 bilion 2010.

* Fasa Aabar-BVI
– Di antara 30 Oktober dan 20 November 2012, sebanyak RM90,899,927.28 telah dikreditkan ke dalam akaun Najib Razak di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada sebuah akaun di Bank Standard Chartered, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners.

– Dikesan berasal daripada penerbitan dua bon berbeza melalui anak syarikatnya 1MDB Energy Limited (1MEL) pada 2012.

* Fasa Tanore
– Di antara 21 Mac dan 10 April 2012, sebanyak RM2,081,476,926 telah dikreditkan ke dalam akaun Najib Razak di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada akaun di Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp.

– Dikesan berasal daripada penerbitan bon bernilai AS$3 bilion oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Limited (1GIL) pada 2013.

* Fasa Opsyen Pembelian Balik
– Pada 23 Jun 2014, sejumlah RM4,093,500 telah dikreditkan ke dalam akaun NAjib Razak di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada akaun di DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited.

– Di antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014, sebanyak RM45,837,485.70 dikreditkan ke dalam akaun Najib Razak di AmIslamic Bank (akaun 9694) daripada akaun di Amicorp Bank, Barbados.

– Dikesan berasal daripada pinjaman AS$250 juta oleh 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) pada 2014. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN